Pengikut

Isnin, 22 Mac 2010

JAUHI SIFAT-SIFAT BARISAN NASIONAL







Peluang Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 amat cerah. Namun Pakatan Rakyat mesti membuktikan kepada rakyat bahawa ia berbeza dengan Umno, bahkan lebih baik daripada Umno.

Untuk berjaya, kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat mesti berani melakukan perubahan sesuai dengan kehendak perjuangannya. Hidup mencontohi kesederhanaan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Jangan sekadar retorik semata-mata.

Ikuti pandangan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu :


Apa pandangan saudara berhubung prestasi kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat setelah dua tahun memerintah?

Dari segi umumnya lebih baik daripada kerajaan-kerajaan BN, terutama sekali perubahan yang dibuat di Selangor Pulau Pinang, untuk wujudkan kerajaan yang berintergriti, wakil rakyat yang berintergriti nampak kedua-dua negeri ini melakukan perubahan yang begitu menakjubkan, adapun negeri-negeri lain perubahan berlaku tetapi perkara fundamental tidak diusik, misalnya peranan RTM, BTN.

Kedah dan Kelantan tidak usik fundamental itu, sedangkan inilah punca kekuatan kepada Umno-BN, penyalahgunaan dua aggensi yang gunakan wang rakyat.

Keberanian Pulau Pinang dan Selangor saya amat kagum dengan perubahan dua negeri ini. Saya harap negeri-negeri lain membuat perubahan terutama dari sudut struktur, penyalahgunaan kuasa yang dilalui atau digunakan Umno-BN selama ini.

Perubahan-perubahan itu perlu untuk kita kemukakan satu pemerintahan yang baru, kalau kita tidak melakukan perubahan ini, bermakna kita hanya mengambil alih pemerintahan daripada Umno-BN, sedangkan segala bentuk strukturnya sama.

Apakah elemen-elemen yang baik yang ada pada pemerintahan negeri-negeri terbabit, mungkin ada contoh dari saudara?

Setakat ini Perak tidak dapat kita nilai sebab ia hanya 10 bulan walaupun ada perubahan yang mereka buat. Pulau Pinang dari sudut menyekat pembaziran, exco dan Ketua Menteri digalakkan berbelanja secara sederhana menggunakan wang kerajaan walaupun mereka berhak menggunakan wang kerajaan atas kerja rasmi, tetapi diminta gunakan secara minimum, dan ternyata mereka boleh selamatkan wang rakyat lebih 36 juta.

Begitu juga segala bentuk perbelanjaan wakil rakyat Selangor dihadapkan kepada jawatankuasa Selcat untuk memberi penerangan walaubagaimana pun perubahan-perubahan itu kita alu-alukan, tetapi kita belum lagi rasa berpuashati. Kita tidak mahu misalnya, kita hanya mengambil alih sahaja pemerintahan BN, iaitu jika dahulu Menteri Besar A dengan Exconya, dan kini Menteri besar B dengan Exconya, tetapi perkara fundamental yang sebabkan penyelewengan tidak berubah.

Ini kita harapkan perubahan. Di samping Kedah menunjukkan prestasi baik dalam memungut hasil balak, tetapi perkara pentadbiran perlu kita berani buat perubahan.

Letakkan perubahan ke arah melahirkan kerajaan yang benar-benar berintegriti. Soal kalah menang dalam pilihan raya umum akan datang itu perkara yang kedua, tidak guna jika kita terus menang pilihan raya tetapi kita mengambilalih perangai dan struktur BN yang akhirnya menjurus kepada negara kepada kekurangan kewangan hasil penyelewengan yang diwarisi bertahun-tahun.

Adakah berlaku perubahan dalam sikap dan imej pimpinan, atau kerajaan negeri?

Adapun pemerintahan Perikatan pada peringkat awalpun penyalahgunaan kuasa dalam pembinaan kekayaan orang politik tidak ketara hanya selepas Tun Dr Mahathir Mohamad memerintah dan kemudian Tun Abdullah Badawi dan Dato' Seri Najib Tun Razak baru kita nampak pemimpin politik kaya mendadak.

Kita tidak mahu benda seperti itu berlaku dalam pemerintahan kita, walaupun bibit-bibit awal itu mahu berlaku, kita perlu menentangnya. Macam kita kata di Kelantan, secara peribadi Tok Guru (Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat) hidup dalam keadaan yang cukup sederhana, tidak menggunakan wang rakyat.

Namun kita mengharapkan beliau mendoktrinkan amalan itu kepada bawahan sebab jika tidak diturunkan jadi satu pentadbiran, bila dia (Tok Guru) pergi nanti samada beliau berhenti atau meninggal dunia, makan cara pentadbirannya akan kembali kepada asal yang dibuat oleh BN, ini kita tidak mahu kerana kita mahu perubahan secara struktur, individu itu perlu tetapi struktur itu lebih penting daripada perubahan dalam hanya bentuk individu.

Kita lihat jika berlaku perubahan individu akhirnya struktur yang serupa akan makan balik apa yang berlaku di Kelantan kebelakangan ini ada dengar suara-suara yang walaupun tidak dibuktikan, tetapi kita dengarlah ada suara-suara orang tertentu dapat konsesi baklak secara berulang dan kaya mendadak berlaku beberapa orang dan perkara itu akan berulang.

Perginya orang-orang yang berintegriti seperti Tok Guru Nik Aziz, kita bimbang pulangan pentadbiran Umno-BN itu kembali.Ini yang kita mahukan perubahan itu dari sudut menyeluruh dan berintergriti kerajaan itu disamping perubahan individu.

Memang perubahan itu bermula dengan individu, tetapi ia mesti dimulakan turun ke bawah untuk wujudkan pentadbiran yang penuh intergriti.

Rakyat sebelum Pakatan Rakyat memerintah mereka mahukan kerajaan intergriti adakah pada saudara sudah menepati atau sebagainya?

Belum menepati, tetapi peringkat awal tadi saya kata persembahan baik. Sebab macam kita kata bahawa kerajaan Umar Abdul Aziz cuba nak memperbetulkan pengagihan kekayaan negara tetapi beliau hanya memerintah dua tahun empat bulan tetapi sistem yang beliau tinggalkan itu menjadi rujukan dan kajian seluruh universiti hingga kini.

Pada saya jika kita buat perubahan belum tentu kita menang dalam PRU13.Kita kena asingkan antara mengwujudkan kerajaan yang menang dalam pilihan raya umum atau mengwujudkan sebuah kerajaan yang berintergriti.

Kadang kala kita takut nak buat perubahan hingga kita takut nak buat apa-apa, ini nanti kita bimbang konsep amar maaruf nahi mungkar itu tak berjalan, kita tengok amar maaruf itu berjalan tetapi nahi mungkar itu kita tidak berani.

Nahi mungkar itu dalam bentuk rasuah, nepotisme, memberi kontrak kepada orang yang sama berulang-ulang, atau dalam nahi mungkar dalam bentuk arak judi dan kelab malam dan sebagainya.

Akhirnya kita tidak berani buat apa-apa dalam nahi mungkar sebaba kita takut hilang kuasa, bila takut hilang kuasa maka kita kekalkan sistem yang ada maka ia berulang apa yang dibuat oleh kerajaan Umno-BN walaupun kerajaannya bertukar yang ini tidak capai matlamatlah.

Bagi saya kita baru dua tahun dan kita boleh baiki keadaanlah, saya nampak fundamental kerajaan lama hanya digoyang oleh Pulau Pinang dan Selangor sahaja, tetapi kalau tanya pilihan raya akan datang merka menang atau tidak itu 'wallahua'lam'.

Tetapi mereka telah ubah, wujudkan Selcat, CAT, tender terbuka di Pulau Pinang, jika kita menguasai kerajaan pusat dan membuat tender terbuka seperti ini mungkin kita akan lihat suatu hari nanti Ketua Umno Bahagian terpaksa jual mee goreng untuk cari makan dan bukan boleh lagi harapkan kita bagi duit ataupun syarikat dua ringgit untuk projek kerajaan, dan sebagainya.

Maka kita akan lahirkan usahawan tulen pada masa akan datang yang menyebabkan rakyat dan masyarakat, negara lebih mewah.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat cukup teruk diserang Umno mutakhir ini, apakah sebabnya?

Ya...Umno rasa terancam terutamanya di Pulau Pinang, jika mereka nak cari makan dengan cara amalan dahulu dah tidak boleh kerana mereka mesti ada syarikat, kena masuk tender dan tidak boleh lagi menelefon orang tertentu untuk masuk projek, mungkinlah ada satu dua yang bocor tetapi secara umumnya payahlah.

Mereka dapat bayangkan kalaulah kerajaan pusat begini pemerintahannya akan datang jadi orang-orang politik ini yang nak cari makan kerana kedudukan dalam politik habis, sekarang ini kita dengar cerita-cerita dalam politik wang sudah menjadi perkara umum, dalam Umno.

Jika nak menang dalam Ketua Bahagian, mereka perlu habiskan dua tiga juta ringgit, kerana mereka tahu selepas jadi ketua bahagian mereka boleh dapat lebih dari itu dalam masa dua tiga tahun, jadi menjadi pemimpin politik adalah pelaburan, jadi benda itulah yang kita di Pakatan Rakyat kena hentikan.

Orang yang nak kaya dia mesti kerja ikut profesionalisme mereka bukan melalui kedudukan politik. Ini yang saya kagum dengan apa yang dibuat di Selangor dan Pulau Pinang, banyak kelemahan tetapi mereka telah memulakan satu era baharu. Tidak dilakukan di negeri-negeri bawah PAS.

Adakah perlu pembaharuan di negeri yang diperintah PAS?


Ya mesti membuat perubahan dan pembaharuan berani buat walaupun kita akan kalah dalam pilihan raya akan datang.

Apa saranan saudara kepada kerajaan negeri di bawah PAS?

Saya lihat dalam PAS sendiri dari segi menentang rasuah dan penyelewengan, dari sudut ceramah dan penerangannya memang berlainan dari parti lain. Dan dalam sudut buat masa singkat ini dalam memerangi rasuah, saya nampak boleh kepada DAP dengan kehidupan wakil rakyatnya yang hanya bergantung kepada elaun-elaun wakil rakyat yang tidak seberapa, mereka lebih zuhud jauh dari wakil rakyat kita.

Sedangkan kita daripada parti Islam mesti atasi DAP. Melainkankan ada mereka yang orang meniaga dan dah kaya kemudian masuk politik, ini cerita lainlah. Kita nampak intergriti hidup bertawaduk dan bergantung kehidupan hanya dengan elaun bukan meniaga, kita nampak hanya wakil rakyat DAP lebih bertahan berbanding kita.

Dengan prestasi yang ada, adakah kerajaan Pakatan Rakyat akan bertahan?

Dalam pilihan raya akan datang ini kita nampak peluang Pakatan Rakyat cerah sebab orang dah meluat dengan Umno, dan orang Umno pun dah meluat dengan Umno, bukan kerana persembahan kita terlalu baik tetapi kerana Umno terlalu lama, dan birokrasi mereka terdedah sekarang.

Misalnya bila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (MB Selangor) melarang pegawai kerajaan negeri mengikuti program BTN dan kemudiannya sepatutnya diikuti dengan Pulau Pinang, diikuti Kedah dan Kelantan sebab itulah senjata yang digunakan oleh Umno-BN kenapa kita tidak berani.

Ada yang kata kita takut hilang kerajaan, biarlah kerana selama ini kita sudah biasa jadi pembangkang, tetapi kita kena tunjukkan berani buat perubahan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan