Pengikut

Selasa, 30 Mac 2010

SIDANG DUN PERAK : KERAJAAN NEGERI HARUS BERTANGGUNGJAWAB







Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah, hari ini bertitah kebijaksanaan kepimpinan adalah satu kemestian bagi sesebuah kerajaan untuk membolehkan ia mengimbangi keperluan rakyat yang berlatarbelakang pelbagai agama, budaya, etnik dan tahap pencapaian ekonomi.


"Setiap kerajaan berkewajipan memenuhi tanggungjawab besar menyempurnakan amanah yang ditentukan Ilahi, demikian juga memenuhi harapan yang disandarkan oleh rakyat.



Raja Nazrin terima teks titah ucapan sebelum perasmian DUN


"Asas-asas utama yang perlu dipenuhi adalah menjamin bahawa kerajaan diuruskan secara amanah lagi telus, adil lagi saksama, keselamatan negeri serta ketenteraman awam terjamin dan rakyat berada dalam kesejahteraan," titah baginda semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.


Raja Nazrin bertitah, tekad kerajaan negeri untuk mentadbir urus secara saksama, telus lagi berhemah adalah sangat dihargai dan semua pihak perlu memperkukuhkan azam dan kesungguhan untuk menjadikan negeri Perak Darul Ridzuan terus aman, makmur dan sejahtera.

Baginda bertitah, iklim ekonomi dunia kini memperlihatkan tanda-tanda pemulihan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku tahun keempat 2009 mencatat pertumbuhan positif 4.5 peratus dan berdasarkan petunjuk ekonomi semasa, diunjurkan KDNK negara bagi tahun 2010 berupaya mencapai sekurang-kurangnya pertumbuhan lima peratus.

Titah baginda kerajaan negeri pada tahun lalu telah berjaya meningkatkan kutipan hasil daripada RM639.2 juta dalam tahun 2008 kepada RM642.2 juta dan tahun ini, dianggarkan kutipan hasil akan mencapai RM667 juta.

Pada 2009, pelaburan bernilai RM893 juta diluluskan bagi negeri Perak oleh Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (Mida) manakala kerajaan negeri sendiri meluluskan beberapa cadangan pelaburan melibatkan pelaburan bernilai RM11.6 bilion yang merangkumi kilang memproses bijih besi, penghasilan produk farmasi, kilang spirulina, pengusahaan air bawah tanah, pengeluaran produk solar cell, pembinaan kolej perubatan berkembar dan limbungan pembinaan kapal.


"Dengan hasil negeri yang bertambah, lebih banyak program pembangunan untuk manfaat rakyat akan dapat dilaksanakan dengan program yang berteraskan rakyat akan diberi keutamaan.

"Program-program pembasmian kemiskinan, sifar setinggan, pencegahan banjir, pendidikan, taska, pengupayaan generasi muda, pembangunan Orang Asli dan pembangunan hal ehwal bukan Islam diberikan prioriti," titah Raja Nazrin.

Baginda mahu kerajaan negeri terus mengatur strategi pembangunan untuk mendapat sebaik-baik manfaat daripada perkembangan positif yang sedang berlaku itu.


yb sivakumar bersama Adun Pakatan Rakyat sebelum masuk ke dalam Dewan


"Mengurus tadbir sesebuah Kerajaan adalah tanggung jawab kolektif yang memerlukan kerjasama, rangkaian kerja, perhubungan dan sokongan pelbagai pihak," titah baginda.

Baginda mahu kerajaan negeri terus menjalinkan hubungan kerjasama dan persefahaman dengan Kerajaan Persekutuan, agensi Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan serta dengan sektor swasta.

Raja Nazrin turut memuji rancangan kerajaan negeri merangka Gagasan Pelan Pembangunan Perak Amanjaya yang bermatlamatkan pembangunan stabil lagi sejahtera berteraskan kehidupan berkualiti, peluang berkualiti dan pendapatan berkualiti.

"Kerajaan Beta amat mengalu-alukan peranan badan-badan bukan Kerajaan, media massa, ulama, cendekiawan, akademia dan individu yang dapat membantu membangunkan Negeri Perak Darul Ridzuan dan memastikan Gagasan Pelan Pembangunan Perak Amanjaya menjadi realiti," titah baginda.

Pada sebelah pagi, Raja Nazrin berkenan memeriksa perbarisan kehormat oleh Pasukan Gerak Am (PGA) sempena istiadat pembukaan sidang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan