Pengikut

Isnin, 29 Mac 2010

" BUNCITKAN ANAK BERANAK "






"Pemimpin UMNO hanya sibuk buncitkan perut diri, adik beradik, anak, menantu dan bini..." Demikianlah tuduhan yang sering dilontarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat terhadap UMNO-Barisan Nasional dalam ceramah politik. Persepsi ini diperkukuhkan apabila masyarakat Malaysia dipaparkan senarai 40 individu terkaya di Malaysia baru-baru ini.



Antaranya, Mokhzani Mahathir, 48, anak kedua bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad menduduki tempat ke-20, dengan nilai harta lebih daripada RM1 bilion. Nazir Razak dari CIMB pula, iaitu adik PM Najib Razak, berada di kedudukan ke-40 terkaya, dengan nilai harta RM345 juta, berdasarkan kajian satu majalah baru-baru ini.



Ketika tuduhan yang dilontarkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim diajukan kepada bekas PM Mahathir Mohamad, beliau menjawab, "Kalau Mokhzani tersenarai..., bukan waktu saya jadi Perdana Menteri.

Masa saya jadi Perdana Menteri, anak saya tak boleh buat
business (berniaga) dengan kerajaan sama sekali. Tak boleh dapat scholarship Anak saya tak dapat scholarship dari kerajaan. Mirzan saja yang dapat scholarship sebelum saya jadi Menteri Pelajaran. Yang lain semua scholarship saya tak bagi, masuk politik tak boleh, berniaga dengan kerajaan tak boleh."


Beliau menambah, "Tapi, Anwar, kawan-kawannya semua kaya. Saya tahu seorang kawannya ada 230 million ringgit, saya tak tahu dari mana datang."



Wartawan kemudian menyusul dengan soalan berbunyi, "Jadi, bagaimana Tun melihat adik Perdana Menteri sekarang juga tersenarai sebagai..."


Dengan lantas Mahathir mencelah, "Tapi Anwar tak tegur itu. Anwar tumpu kepada saya saja."


"Dia ada sebut adik-beradik, dan anak-anak dikayakan..," wartawan mendesak lagi.


Mahathir cuba mengelak daripada menjawab kepada soalan, "Dia Anwar pun sama juga. Kalau dia jadi Perdana Menteri, itulah. Bila dah jadi Timbalan Perdana Menteri, kawan-kawannya semua kaya. Dan dia duit banyak juga. Tak tahu duit dari mana."




Dakwaan "konspirasi" oleh Anwar



Sebelum ini, ketika menjawab soalan daripada wartawan, Mahathir mengambil kesempatan mencuit Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat olehnya pada 2 September 1998.


Merujuk kepada dakwaan Anwar bahawa dirinya menjadi mangsa kepada konspirasi politik UMNO-BN, Mahathir berkata, "Sesiapa yang terjerat dengan masalah, dan tidak dapat memberi penjelasan, akan berkata konspirasi. Kalau dia ditangkap, dia akan kata itu konspirasi. Misalnya kes tahun 1997 dan 1998, menurutnya Anwar, wujudnya satu konspirasi. Sekarang, wujud satu konspirasi. Seolah-olah dalam negara ini, setiap orang ada konspirasi, termasuk hakim."


Sebaliknya, Mathathir menuduh bahawa wujudnya muslihat untuk menggulingkan dirinya dari kerusi PM, yang didalangi Anwar Ibrahim.


"Dia bersubahat untuk menggulingkan saya! Semua orang mengetahuinya. Dia meminta orang untuk menyerang saya, mendakwa saya ada kroni dan sebagainya, tetapi dia sendiri sangat baik (nice). Dia orang kedua dalam kabinet...," katanya.



Beliau menjelaskan, "Di belakang saya, Anwar berbuat sesuatu yang jahat. Di depan saya, kami duduk semeja dengan senyuman yang manis. Itu namanya konspirasi. Itu dia dari dulu hingga sekarang (That's him all the way). Itu sebabnya saya tidak terkejut dengan tuduhannya."



Malah dengan nada yang sinis, Mahathir menyindir Anwar Ibrahim, "Semua orang bias untuk dia. Hakim bias, Ketua Polis Negara bias, Peguam negara bias, kerajaan juga bias...(terhadapnya)."



Menyindir Abdullah Ahmad Badawi



Bukan sahaja Anwar Ibrahim yang dijadikan sasaran, malah penggantinya, bekas PM Abdullah Ahmad Badawi turut dipersendakan ketika Mahathir menilai prestasi Najib Razak selaku PM untuk tempoh setahun.



"Keadaannya jauh lebih baik daripada Pak Lah-lah. Masa Pak Lah saya tak boleh bercakap langsung. Saya tidak boleh dijemput oleh siapa-siapa pun. Tapi dia cukup liberal. Very demokratik. Orang yang macam saya ni tak boleh cakap," katanya secara sinis.



Beliau menambah, "tapi Najib dia bagilah ruang sikit saya cakap, jadi baguslah. Lagipun dia ada idea sikit."



Ketika ditanya harapannya terhadap Najib, beliau berkata, "Harapan saya kepada Najib lebih daripada yang lepaslah. Yang koridor tu. Banyak koridor. Tapi, you nampak apa-apa dalam koridor? You tak buat laporan? Press should make a kajian, of all the corridors of the five years, what has been done?"



"Bila saya mengundur, ia kelihatan kerajaan baru pimpinan Abdullah lebih liberal. Rakyat mahukan lebih kebebasan untuk membincangkan isu yang sensitif. Tetapi, apa yang kita lihat hari ini, hubungan antara kaum yang berlainan adalah lebih teruk daripada zaman saya. Persoalannya ialah, sama ada kita mahu kebebasan untuk membincang untuk tujuan perbincangan, atau kita mahu kestabilan di negara ini?"



"Kalau kita mahu kestabilan dan pertumbuhan di negara ini, jadi lebih baik kamu mengendalikan perkara ini sebagai isu sensitif. Tetapi jikalau anda rasa anda mahu bersikap liberal, jadi macamlah sesetengah negara yang tidak dapat membangun kerana mereka liberal, dan situasi dalam negara selalunya tidak stabil," katanya.



Lim Hong Siang ialah Editor merdeka review



Tiada ulasan:

Catat Ulasan