PRK Hulu Selangor akan berlaku sedikit masa lagi apabila Kerusi Parlimen di istiharkan kosong oleh SPR kerana kematian Dato’ Dr. Zainal Abidin Ahmad. Bagi Barisan Nasional, isu pertama yang harus ditangani adalah sama ada calon dari MIC iaitu Dato G. Palanivel dikekalkan sebagai calon BN. Dari segi persefahaman yang telah sedia terjalin dalam BN, kerusi Parlimen Hulu Selangor merupakan kuota yang telah diperuntukan kepada MIC.
Dato’ G Palanivel merupakan calon yang tewas dalam PRU yang lalu kepada Dato Dr. Zainal Abidin Ahmad. Tanda-tanda di PRU yang lalu jelas memperlihatkan bahawa pengundi-pengundi yang menyokong BN di Hulu Selangor telah menolak Dato G. Palanivel. Masakan tidak, tiga DUN dalam Parlimen Hulu Selangor dimenangi oleh calon BN tetapi majoriti di peringkat DUN telah berubah menjadi minoriti di peringkat parlimen pula.
Perlu dinyatakan, Dato G Palanivel telah bertanding di Hulu Selangor dan menang beberapa kali sejak tahun 1990. Ini bermakna Dato G Palanivel telah diberikan peluang hampir 20 tahun untuk berbuat sesuatu di Hulu Selangor tapi telah gagal mengekalkan penerimaan pengundi terutama dari kaum India sendiri mahupun dari pengundi Melayu.
Kesimpulan yang boleh dibuat ialah pengundi Hulu Selangor telah menolak Dato’ G Palanivel. Hanya dengan sokongan pengundi setia UMNO ,terdapat ramai juga ahli UMNO sendiri telah mengundi calon PKR dan mungkin juga MCA yang membolehkan Dato G. Palanivel tidak hilang wang pertaruhan di PRU 12. Kebanyakan orang India di lihat tidak mengundi calon MIC malahan telah mengundi calon PKR. Meletakkan Dato G Palanivel mahupun mana-mana calon MIC yang lain akan mengundang bencana bagi BN dalam pilihanraya kecil ini.
Menurut sejarah, Parlimen Hulu Selangor pernah diwakili oleh Puan Halimahton Saadiah dari UMNO pada tahun 1955. Selepas itu kerusi Parlimen HS telah diberikan pula kepada calon-calon dari MCA, Gerakan dan akhir sekali MIC. UMNO merupakan parti terbesar dan orang Melayu merupakan pengundi majoriti di Hulu Selangor tetapi atas dasar setia kepada keputusan pucuk pimpinan parti, ahli-ahli UMNO terpaksa berkorban dan akur memberikan kerusi tersebut kepada lain-lain parti komponen BN termasuk MCA, Gerakan dan MIC. Tetapi pada PRK kali ini, keadaan telah banyak berubah.
Perubahan kerajaan diperingkat negeri telah membuatkan ramai ahli UMNO merasa begitu tertekan. Tindak tanduk PKR/PAS/DAP dalam Pakatan Rakyat telah banyak menguris hati mereka. Siapa yang boleh melupakan tindakan kerajaan Negeri Selangor mensabotaj projek UiTM di Serendah? Mereka baru sedar bahawa hanya UMNO ,dengan segala kelemahan yang ada sahajalah yang mampu membawa pembangunan untuk rakyat. Ahli-ahli UMNO ini menjadi begitu bersemangat untuk berkerja keras bagi menumbangkan calon Pakatan Pembangkang.
Banyak antara mereka yang telah turun mengundi calon PKR di PRU 12 telah merasa menyesal yang teramat sangat. Mereka mahu UMNO meletakkan calon pada kali ini bagi menandingi calon Melayu dari PKR nanti. Biar buku bertemu ruas. Baru dapat kita ukur jauh mana popularnya calon PKR nanti. Meletakkan calon MIC hanya akan mematikan semangat juang yang sedang melonjak begitu tinggi ini.
Kami, pengundi Melayu Hulu Selangor akan mengundi sesiapa sahaja calon yang akan diletakkan oleh UMNO. UMNO Hulu Selangor mempunyai ramai calon-calon yang berkaliber dan salah seorang dari mereka ini akan diterima dengan tangan dan hati terbuka. Antara calon-calon UMNO yang telah disebut-sebut termasuk Tan Sri Mohamad Mohd Taib, Dato Zainal Abidin Hj. Sakom. Kedua-dua mereka ini merupakan calon vateran yang tidak perlu lagi diperkenalkan kepada pengundi Hulu Selangor.
Bagi muka-muka baru pula calon yang berpotensi termasuk Puan Rosni Sohar (Penolong S/U Pergerakan Wanita UMNO Malaysia), Saudara Nazari Ahmad Dahalan (S/U UMNO Bahagian Hulu Selangor), Saudara Kamsani (AJK Bahagian HS dan Mantan ketua pemuda Bahagian HS), Saudara Khairudin Mohamad (S/U Politik Kanan, Dato Ahmad Mazlan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia) dan juga Dato Adnan Buyong (Naib Ketua UMNO Bahagian HS dan Mantan Bendahari, Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor).
Setiap dari nama calon di atas mempunyai kekuatan yang tersendiri dan kami amat percaya bahawa mereka-mereka ini akan dapat memikul tugas sebagai Wakil Parlimen Hulu Selangor dengan baik jika andainya dipilih sebagai calon.
Kami sebagai pengundi dan penyokong BN di Hulu Selangor ingin menyatakan sekali lagi bahawa kami mahu kerusi Parlimen Hulu Selangor dipulangkan kembali kepada UMNO. Kami telah berkorban demi semangat kerjasama Perikatan/BN selama lebih 40 tahun dan sudah sampai masanya calon dari UMNO dinamakan sebagai calon pada pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan datang ini.
Kami akan bekerja keras untuk memberikan kemenangan besar kepada BN di PRK Hulu Selangor nanti. Janji kami, “gelombang merah” yang akan bertiup dari Hulu Selangor akan mengeggarkan benteng pertahanan Pakatan Rakyat bukan sahaja di Hulu Selangor bahkan Malaysia! Ingat, jangan pisang berbuah dua kali.
Hj. Yaziz Yunus
Daerah Mengundi Bukit Sentosa
sumber : teman cilok...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan