Pengikut

Jumaat, 6 Ogos 2010

CEPAT LA AJAR SEX..?





Semenjak kebelakangan ini, terdapat banyak kes rogol yang melibatkan kanak-kanak telah didedahkan. All Women's Action Society (AWAM) meyokong penuh cadangan Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pendidikan, Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan pendidikan seks di peringkat sekolah rendah.

Walau bagaimanapun, AWAM berasa amat kecewa apabila Muhyiddin (gambar kanan) mengatakan bahawa beliau akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan terlebih dahulu dasar pelaksanaan pendidikan seks tersebut. AWAM berpendapat perbincangan demi perbincangan yang telah memakan masa ini tidak beroleh apa-apa faedah malah lebih ramai kanak-kanak yang akan dikorbankan sepanjang perbincangan ini dilanjutkan.

Agenda yang dikatakan perlu dalam perbincangan ini antara lainnya adalah, latihan mengajar pendidikan seks, pembahagian masa pengajaran, dan juga isu sama ada pendidikan seks akan disertakan ke dalam silibus pendidikan atau dikekalkan seperti sekarang; ataupun dimasukkan ke dalam subjek biologi. Perbincangan seperti ini telah diadakan bertahun-tahun lamanya. Cadangan dan bahan pengajaran juga telah dibekalkan, akan tetapi kerajaan tidak pernah menghiraukan hasil yang diperoleh daripada perbincangan tersebut.

Maka dengan ini, AWAM berpendapat cadangan yang diutarakan oleh Timbalan Pendidikan bukanlah suatu cadangan yang ikhlas. Pendidikan sedia ada terbukti tidak dapat melindungi kanak-kanak, dengan itu generasi akan datang akan terus didera.

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Women's Centre for Change (WCC), hanya 4% kes penderaan seks kanak-kanak telah disabitkan kesalahan, sementara 45% kes telah ditutup. Menurut statistik yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia pada tahun 2009, 30% kes penderaan kanak-kanak melibatkan penderaan seks (Sin Chew, 4/8/2010).

AWAM ingin mengingatkan kerajaan bahawa Malaysia telah menandatangani Child's Rights Convention (CRC) pada tahun 1995 dan pada tahun 2002 Malaysia telah melaksanakan Child Act 2001. Maka kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab dan kewajipan untuk melindungi kanak-kanak. AWAM berasa kecewa dengan pendekatan yang diambil oleh kerajaan dalam usaha menangani kes penderaan seks yang semakin berleluasa ini dengan hanya meneruskan perbincangan yang sudah bertahun-tahun lamanya.

Dengan ini, AWAM berharap Menteri Pendidikan memandang serius terhadap pendidikan seks dan bukan hanya berterusan dengan cadangan kosong sahaja.



*Kenyataan Haslina Yacoob selaku Pengerusi AWAM (All Women's Action Society).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan