SEKIRANYA anda ada mengunjungi Pavilion Kuala Lumpur (KL) sepanjang minggu lalu, pastinya tidak terlepas pandang pameran fotografi solo mengagumkan oleh Bustamam Mokhtar. Bertajuk 100 Most Iconic Faces of Malaysia (Wajah Paling Ikonik), sudah tentu personaliti paling signifikan menjadi subjek utama sebagai tontonan ramai.
Keunikan setiap potret diluahkan dengan penuh emosi mengikut peribadi dan personaliti kesemua individu menerusi landskap tepat bagi menggambarkan latar belakang dan potensi sebenar setiap satunya.
Antara yang menambat perhatian adalah potret dua mantan pemimpin, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kata Bustamam, ketiga-tiga personaliti unggul tanah air itu mempunyai aura tersendiri terutama pemimpin nombor satu negara yang berkarisma dan mempunyai gaya tersendiri.
“Ahli politik merupakan subjek yang cukup unik sebagai model GQ. Malah, PM kita seorang yang stailo! Beliau memberikan aksi hebat, sungguh sporting. “Walaupun hanya diberi tempoh 15 minit kami berjaya menyelesaikan penggambaran itu hanya dalam sebuah bilik fotostat di bangunan Parlimen,” katanya.
Bustamam juga masih terkenang memori berharga merakamkan potret Dr Mahathir, tahun lalu.
“Seolah-olah sejarah sedang tercipta di hadapan saya. Bayangkan individu bijaksana yang memimpin negara selama 22 tahun dan masih mempunyai aura itu. Inilah kelebihan menjadi jurugambar,” ujar Bustamam.
Manakala potret Abdullah dengan pose istimewa pula dirakamkan tidak lama dahulu, khusus untuk pameran berkenaan selain Tun Jeanne Abdullah yang diabadikan dalam landskap hijau, sesuai dengan perwatakan lembut bekas wanita pertama itu.
Menerusi pameran solo yang diadakan buat julung-julung kali itu, orang ramai mampu menyaksikan perkembangan kerjaya Bustamam sebagai jurugambar negara yang berjaya menjadikan personaliti tempatan sebagai ikon-ikon terulung negara.
Salah satunya potret pereka fesyen veteran tanah air, Datuk Bernard Chandran yang cukup segak dirakamkan dalam keadaan gerimis di pondok telefon dekat London Bridge.
“Satu lagi penggambaran mencabar. Sebenarnya kami tidak mempunyai permit untuk membuat penggambaran, jadi saya gunakan kamera digital 135mm yang bersaiz kecil untuk memanfaatkan peluang terhad untuk melakukannya,” ujar beliau.
Sebagai jurugambar selebriti sejak hampir 20 tahun lalu, Bustamam berkesempatan merakamkan bintang ternama Michelle Yeoh, Ling Tan, Ziana Zain, Tamara Blezinsky, Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Erra Fazira, M. Nasir dan ramai lagi.
Bustamam memberitahu, kesemua 100 potret personaliti tersebut merupakan sebahagian himpunan koleksinya dalam bentuk digital sejak tahun 2003. Antara koleksi luar biasa itu termasuk Datuk Jamil Sulong dan mendiang A. Loganathan, vokalis Alleycats.
Pameran dengan usahasama Maxis itu katanya, bertujuan mempersembahkan sisi unik personaliti ikonik negara yang setanding di peringkat global. Yang penting, ujar Bustamam adalah mereka ditonjolkan dengan medium dan saluran yang betul.
“Orang kita setanding dengan orang lain, jika betul gayanya, no doubt (tidak disangkal), semua layak diangkat sebagai selebriti antarabangsa.
“Lihat sahaja Michelle Yeoh yang berjaya di pentas Hollywood dan Datuk Sheikh Muszaphar Shukor, jelas negara mampu mencapai kejayaan luar biasa,” katanya.
Tidak mustahil Bustamam juga dikenali seperti Mario Testino, Richard Avedon dan Patrick Demarchelier satu hari nanti dengan tahap kemahiran luar biasa beliau mengupas keindahan dalaman sebarang individu yang dirakamkan olehnya.
Juga tidak keterlaluan jika pameran solo beliau kali ini merupakan bukti kemampuan Bustamam untuk melangkaui standard sedia ada berbekalkan pengetahuan dan pengalaman bekerjasama dengan golongan profesional dalam bidang fesyen dunia.
Walaupun berpangkalan di Cheras, Selangor namun beliau sibuk memenuhi jemputan dan membuat penggambaran di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan seluruh rantau Asia terutama Hong Kong dan Singapura.
“Apabila keluar negara, pastinya bagasi saya lebih had disebabkan kelengkapan yang perlu dibawa terutama tripod dan body kamera yang pelbagai untuk tujuan dan efek tertentu,” tambahnya lagi.
Sempena Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) 2010, 100 Faces by Bustamam merangkumi karya terpilih beliau dipamerkan kepada para pengunjung Pavilion Kuala Lumpur mulai 25 Oktober lalu sehingga 7 November ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan