
Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengetuai Pasukan Petugas Integriti MCA hari Selasa mengumumkan kesemua anggota jawatankuasa itu akan memboikot semua majlis dan aktiviti yang dianjurkan oleh kepimpinan parti yang diketuai oleh Presidennya Datuk Seri Ong Tee Kiat. "
Kami akan memboikot mesyuarat jawatankuasa pusat dan rumah terbuka Tahun Baru Cina yang akan diadakan oleh parti bersama dengan kumpulan Cina yang lain" .
Beliau berkata 13 anggota pasukan petugas itu, termasuklah Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun akan meneruskan boikot sehingga pemilihan baru parti itu diadakan.
Pasukan petugas itu yang dibentuk oleh kumpulan penyokong Liow tahun lepas di tengah-tengah kemelut perebutan kuasa dalam MCA yang menyaksikan naib presiden MCA itu berselisih faham dengan Ong dan timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
"Pemilihan baru parti penting bagi mengembalikan keyakinan di peringkat akar umbi dan untuk mengembalikan kredibiliti parti."
Usaha Liow bagi mengadakan pemilihan baru parti terbantut apabila hanya 13 anggota jawatankuasa pusat parti yang bersetuju untuk meletak jawatan, kurang daripada dua per tiga yang diperlukan berdasarkan Perlembagaan parti itu untuk mengadakan satu pemilihan baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan