
Parti Rakyat Malaysia (PRM) menasihati Syed Husin Ali dan kumpulannya dalam PKR - sama ada mereka mengiktirafnya atau tidak - PRM, sebagai sebuah parti progresif berhaluan kiri, akan terus wujud dan mara ke depan.
Setiausaha agung PRM, Koh Swe Yong berkata, apabila berdepan dengan masalah dalaman PKR, Syed Husin yang pernah menjadi presiden PRM, telah mengheret sama PRM ke dalam masalah mereka.
"Serta menyalahkan PRM dengan menyatakan KeAdilan tidak mengiktiraf sama sekali kewujudan PRM kerana bagi mereka PRM telah dicantumkan ke dalam KeAdilan.
"Masalah mereka kini timbul kerana ahli-ahli PRM tidak mengikuti mereka melompat ke KeAdilan,"

Koh berkata, bagi menyokong dan menguatkan pendirian mereka tidak mengiktiraf PRM, Syed Husin telah mengulangi beberapa fakta tentang percantuman antara kedua-dua parti itu.
"Tetapi dalam pada itu, beliau secara berpilih dan dengan sedar telah
meninggalkan fakta-fakta penting lain lagi benar untuk menutup sebab-musabab percantuman tidak terjadi akhirnya.
"Bahkan, mereka menyalahkan pihak-pihak lain seperti Pendaftar Pertubuhan (ROS) apabila percantuman yang dikehendaki oleh sekerat sahaja bekas pemimpin PRM yang diketuai Syed Husin, gagal," .
Sehubungan itu, katanya, PRM perlu menjelaskan beberapa fakta 'yang ditinggalkan' untuk "menghentikan Dr Syed Husin dan kumpulannya daripada "terus mengeluarkan cakap-cakap yang mengelirukan".
Mengulas lanjut, Koh berkata, kongres nasional PRM mempersetujui kongres nasional diadakan bagi membubarkan parti itu secara terhormat semasa meluluskan percantuman antara PRM dan KeAdilan pada 2002.
"Dari September sehingga 19 Disember 2004, iaitu tarikh muktamar perwakilan Majlis Tertinggi PKR yang pertama diadakan di Ipoh, Perak, ahli PRM meminta secara bertulis dan secara lisan kepada Syed Husin (presiden), Dr Sanusi Osman (setiausaha agung) dan AJK pusat PRM lain untuk mengadakan kongres nasonal bagi membubarkan PRM.

"Mereka bersetuju tetapi berkata kena tunggulah. Oleh itu, kongres nasional untuk membubarkan PRM tidak pernah diadakan. Fakta ini ditinggalkan oleh Syed Husin dan kumpulannya setiap kali bercakap tentang percantuman," kata Koh.
Katanya, ketika ahli PRM meminta kumpulan Syed Husin mengadakan kongres nasional untuk membubarkan PRM, ROS Selangor tiba-tiba menghantar sepucuk surat bertarikh 28 Februari 2005 kepada tiga penjawat utama PRM - presiden, setiausaha agung dan bendahari - meminta penyata tahunan PRM dari 2001 hingga 2004.
"Nampaknya mereka telah menghentikan menghantar penyata tahunan apabila ura-ura tentang percantuman PRM dengan KeAdilan bermula pada 2001. Surat ini mengejutkan ahli-ahli PRM. Mereka berasa tertipu," tegas koh.
Katanya, ahli PRM yang tidak melompat ke KeAdilan berusaha menghantar penyata tahunan itu untuk menyelamatkan PRM daripada dibubarkan oleh ROS.
Bagaimanapun, Koh mendakwa, kumpulan Syed Husin secara senyap-senyap menghantar penyata tahunan tersebut serta memohon ROS membubarkan PRM, tetapi ditolak oleh ROS.
"Sebab permohonan Syed Husin Ali ditolak oleh ROS ialah (kerana) mereka tidak mengadakan kongres nasional membubarkan parti seperti yang ditetapkan dalam peraturan.
"Setelah permintaan mereka ditolak ROS, mereka ke mahkamah pula, tetapi masih tidak berjaya membubarkan PRM.
"Kini mereka mencuba “membunuh” PRM melalui cara politik, pertubuhan serta media, khususnya media elektronik yang rapat dengan mereka dikerahkan untuk memadam nama PRM," katanya.
Koh berkata, PRM ingin menasihati Syed Husin dan kumpulannya supaya menghentikan usaha yang sia-sia itu.
"Kedua-dua parti masih ada luang yang luas untuk bekerjasama demi kebajikan rakyat.
"Sama ada mereka mengiktiraf PRM atau tidak, PRM sebagai sebuah parti progresif berhaluan kiri akan terus mara ke depan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan