
oleh : Wong Shu Qi
Arus "keluar parti" semakin menderas, mendekatkan semula Barisan Nasional ke paras dua pertiga di Dewan Rakyat, kelebihan majoriti yang ditembusi semasa "tsunami politik" PRU ke-12. Senario terkini memperlihatkan pengurangan kerusi parlimen PKR dari 31 ke 28, lantas mengurangkan kerusi Pakatan Rakyat kepada 79.
Apa yang tersirat di sebalik angka 79 ini bukan sekadar bermaksud "keluarnya empat orang ahli parlimen dari PKR dan PAS". Apa yang lebih penting, seandainya lima orang lagi ahli parlimen dari PR mengisytiharkan dirinya untuk keluar parti, maka PR akan tinggal 74 kerusi, iaitu satu pertiga daripada jumlah 222 kerusi.
Jadi, BN yang kini memiliki 137 kerusi, akan menaruh harapan pada empat orang ahli parlimen yang keluar dari PR, iaitu Ibrahim Ali (PAS), Zahrain Hashim (PKR), Tan Tee Beng (PKR) dan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR), ditambah pula dua orang ahli parlimen "bebas", iaitu Chua Soon Bui dan Eric Majimbun dari SAPP, yang keluar dari BN pada tahun 2008.
Ringkasnya, lanskap dalam Dewan Rakyat terkini adalah BN (137), SAPP (2), ahli parlimen yang keluar dari PR (4), membawa kepada jumlah 143. PR pula memiliki 79 kerusi. Seandainya ahli parlimen "bebas", iaitu 2 dari SAPP dan 4 yang keluar parti mendampingi BN, maka angka 5 menjadi kunci seterusnya.
Penambahan 5 kerusi akan mengembalikan BN kepada majoriti dua pertiga, di samping penolakan 5 dari 79 kerusi yang dimiliki PR, akan menggagalkan PR untuk menafikan 2/3 BN di Dewan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan