Pengikut

Isnin, 1 Mac 2010

KHUTBAH ZULKIFLI NORDIN






Salam 2 all.



Berikut khutbah Jumaat sempena sambutan Maulidur Rosul 1431H bersamaan 2010.


Wassalam.



**********************


Segala puji bagi ALLAH, Tuhan yang telah mengutus Rasulullah saw sebagai pembawa rahmat keseluruh alam, dengan membawa risalah tauhid menyeru manusia menyembah ALLAH Yang Maha Esa, ALLAH Yang Satu.



Saya menyeru diri saya dan para jemaah sekelian supaya bertaqwa dengan sebenarnya kepada ALLAH, tanpa sedikit pun keraguan dan kekhuatiran.
ALLAH swt berfirman, "berpeganglah kamu kepada tali ALLAH iaitu Al Quran, dan janganlah kamu bercerai berai (daripadanya)".



Kesatuan umat Islam bukanlah berdasar kepada nasionalisma, assobiyyah puak, kumpulan atau pertubuhan. Sebaliknya kesatuan umat Islam adalah berdasarkan kepada Al Quran. Sesiapa sahaja yang mengangkat syahadah mentauhidkan ALLAH, dan menjadikan Al Quran sebagai kitab pegangannya, maka mereka adalah saudara seaqidah dengan kita, tanpa mengira warna kulit, latarbelakang atau puak dan bangsa mana.



Memisahkan diri daripada Al Quran akan memecahbelahkan kita, dan akan akhirnya menjahanamkan kita.
Rasulullah saw yang kita sambut ulangtahun kelahiran baginda yang ke 1484 tahun yang lepas pernah bersabda,


"Akan datang suatu masa nanti golongan kafir akan bersatu dan datang meratah kamu (umat Islam) sebagaimana mereka memakan dalam talam. Tanya para sahabat, 'apakah kerana kami terlalu sedikit ya rasulullah'. Tidak, bahkan kamu terlalu ramai, tetapi ramainya kamu hanya saperti buih dilautan yang ditiup ombak.



ALLAH akan mencabut perasaan takut musuh kepada kamu dan mencampakkan perasaan wahan kepada kamu. 'Apa itu wahan ya Rasulullah', tanya para sahabat. Hubbud dunya wakaro hiyatul maut-kamu terlalu cintakan dunia dan takut mati".




Inilah yang terjadi kepada umat Islam hari ini. Di Falastin, umat Islam menjadi ratahan zionis Israel la'natullah akibat umat Islam khususnya Mesir yang terlalu sayangkan habuan duniawi dan takut kehilangan sokongan Barat.




Di Afghanistan, kita melihat operasi terbaru rejim kafir Barat yang bersekutu dengan Amerika AsSyaiton meratah umat Islam dan pejjuang mujahiddin Islam di Majjah, kerana adanya keldai-keldai mengaku Islam yang terlalu sayangkan jawatan dan takut kehilangan kedudukan.



Di negara ini, segelintir golongan bukan Islam sudah begitu berani mencabar dan mahu meratah maruah umat Islam secara terbuka. Mereka menghina kalimah ALLAH dalam bentuk syirik dan kufur. Mereka melabel kita sebagai pelampau dan ekstremis.



Mereka memperlekeh syariat Islam dan institusi kita melalui tulisan dan ucapan mereka. Mereka mempertikai perlaksanaan hukum-hakam kita samada berkaitan aqidah, arak ummul qoba'is, mereka cuba membatalkan majlis maulidur Rosul yang menjadi syiar bagi umat Islam negara ini, dan banyak lagi perlakuan biadap dan melampaui batas ketamadunan tanpa sedikit pun perasaan hormat, takut atau gentar kepada kita.



Dan yang paling malang, ada dikalangan kita yang bersedia menjadi bajingan dan balaci mereka, menjadi saperti lembu yang dicucuk hidung.


Bila kafir ini meniup ke kiri, maka terkinja-kinjalah kita berjoget kekiri. Bila mereka mereka menghembus ke kanan, maka terkial-kial lah kita berzapin kekanan.



Dan ini semua terjadi kerana penyakit wahan yang dicampak kepada kita. Kita terlalu sayangkan kedudukan, jawatan, dan habuan. Kita mengenepikan semua prinsip dan matlamat perjuangan demi mengejar impian keduniaan dan kerusi empuk kekuasaan.


Hingga kita sampai mempertuhankan politik dan demokerusi, dan kita takut kedudukan, jawatan dan habuan kita itu mati dan kehilangan.
Maka hari ini kita menjadi umat yang hina dimana-mana sahaja kita berada.


Yang tinggal hanya sejemput janggut dan senipis serban, kita hanya muncul Islam pada nama, tetapi tong kosong didalam. Bunyi ngembikan gegak gempita, tetapi tahi bertaburan dijalanan.



Maka saya menyeru diri saya dan para jemaah sekelian, marilah kita kembali bersatu dibawah panji-panji Islam, berdasarkan Al Quran dan sunnah Rasulullah saw. Ketepikan segala sentimen assobiyyah yang sempit dan keterlaluan, dan berpeganglah kepada Islam. Insyallah, kita akan muncul sebagai umat yang kuat, hebat, dan menjadi ikutan dan contoh bagi manusia.


Dan mereka yang berpegang kepada Al Quran, dan menurut perintah Rasulullah tanpa keraguan, golongan inilah yang dijanjikan kemenangan oleh ALLAH, walaupun kafir musyrikin tidak menyukainya.



Firman ALLAH didalam surah At Taubah: 33, "Aku yang mengutus Rasul dengan petunjuk dan agama yang benar, dimenangkan atas agama lain, walaupun musyrikin tidak menyukainya".
Wassalam. Zulkifli Bin Noordin Jumaat 12 Rabi'ul Awal 1431 26 Februari 2010







*Nota: khutbah disampaikan secara lisan. Semua rukun dan syarat sah khutbah adalah dipatuhi. Dan semua ayat Al Quran dan matan hadis disampaikan dalam bahasa asal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan