Pengikut

Khamis, 13 Januari 2011

AKHIRNYA KJ SERAH SURAT PINANG ANWAR IBRAHIM

Pemuda Umno hari ini telah menyerahkan surat rasmi mempelawa Anwar Ibrahim untuk berdebat berhubung isu ekonomi yang membabitkan manifesto 100 Hari Pakatan Rakyat sekiranya berjaya merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.


Surat tersebut diserahkan melalui Penolong Setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di ibu pejabat PKR tadi.

Dalam surat itu, Ketua Pemuda Umno (KJ) menawarkan diri untuk berdebat secara terbuka dengan Anwar yang juga Ketua Umum PKR khusus kepada isu “Kaedah Mengendalikan Ekonomi Negara”.

“Kita telah hantar surat rasmi berdebat dengan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jelaskan program 100 hari Pakatan Rakyat yang telah diwar-warkan sebelum ini,” katanya.

“Saya dan Datuk Seri Reezal berbesa hati apabila dibenarkan naik untuk menghantar surat tersebut yang sebelum ini hanya dimaklumkan melalui media, Twitter... jadi hari ini YB Khairy secara rasmi mempelawa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersama-sama berdebat untuk topik itu,” kata Megat Firdouz kepada pemberita selepas menyerahkan surat pelawaan itu.

Beliau berkata Anwar perlu menerima pelawaan tersebut untuk menjelaskan maksud sebenar Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang begitu hangat diperkatakan dalam barisan kepimpinan tiga parti komponen itu termasuk PAS dan DAP.

“Kita mahu memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk menilai apa yang mereka selama ini perkatakan 100 hari ekonomi.

“Respons kakitangan itu adalah akan sampaikan surat itu kepada Datuk Seri Anwar, terpulang kepada beliau untuk terima atau tidak,” katanya.

Beliau berkata pihaknya berharap sangat atas nama demokrasi untuk tahu rancangan mereka sebenar, “terimalah pelawaan, sahutlah pelawaan kami” untuk sama-sama berdebat dan dengar apa yang mereka hendak menjamukan kepada rakyat seperti mana yang mereka katakan dalam tempoh 100 hari jika memerintah.

Megat Firdouz berkata pihaknya menantikan jawapan segera daripada Anwar supaya debat tersebut boleh ditetapkan.

“Tarikh, tempat semua kita akan bincang kemudian... yang penting adalah persetujuan. Kalau Datuk Seri Anwar bersetuju saya dan Reezal akan berbincang dengan pentadbiran untuk menentukan tarikh dan tempat.
“Kami minta jawapan secepat yang mungkin.

“Itu terpulang kepada mereka untuk turunkan siapa, kami hanya mahu dengar dan berdebat tentang apa yang mereka mahu katakan,” katanya. 

baca sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan