Pengikut

Khamis, 6 Januari 2011

PANAS!! 15 KETUA CABANG PKR TIDAK YAKIN DENGAN KETUA PKR NEGERI

PKR Sabah kini menghadapi masalah kepimpinan apabila 15 daripada 25 ketua cabang meluahkan rasa tidak yakin terhadap Ketua PKR negeri, Ahmad Thamrin Jaini dan mahu Ansari Abdullah dilantik menerajui parti itu.

Gesaan itu yang dibuat beberapa jam sebelum bekas Naib Presiden parti, Datuk Dr Jeffrey Kitingan membuat pengumuman rasmi keluar parti, adalah bersandarkan pandangan bahawa hanya melalui Ansari PKR Sabah mampu memberi cabaran pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Anthony Mandiau yang juga Ketua Cabang Kota Marudu berkata, kesemua mereka kecewa dengan cara Thamrin menguruskan parti.


“Thamrin tidak melakukan apa-apa untuk memimpin parti. Sebagai ketua peringkat negeri beliau tidak ada hala tuju dan telah gagal dalam menjalankan tugasnya, malah juga melemahkan PKR Sabah,” katanya semalam.


Anthony berkata, sebagai ketua peringkat negeri, adalah penting bagi Thamrin menggubal dan melaksanakan strategi untuk menjadikan PKR Sabah rakan yang kuat dalam pakatan pembangkang di negeri itu.


“Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, PKR Sabah mungkin akan tercatat dalam buku sejarah sebagai parti yang gagal memenuhi aspirasi rakyat.


“Kami tidak akan membiarkan generasi akan datang menderita kerana pemimpin yang tidak cekap. Kami menghantar mesej yang jelas kepada kepimpinan pusat bahawa kami bersetuju sepenuhnya Ansari Abdullah dilantik menerajui PKR Sabah,” katanya.


Anthony berkata, PKR Sabah berada dalam keadaan kucar-kacir sejak setahun lalu dan masanya telah tiba untuk pemimpin peringkat bahagian menjadi lebih fokus dan tegas.


“Kami mengakui sepenuhnya Ansari seorang pemimpin yang layak, berwawasan dan setia untuk menerajui PKR Sabah.


“Kami faham Setiausaha Agung parti, Saifuddin Nasution dijangka mempengerusikan mesyuarat dengan semua ketua cabang pada jam 3 petang hari ini, mengenai pelantikan ketua peringkat negeri dan hasrat kami juga telah disampaikan dengan jelas kepada Presiden,Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi sepucuk surat kepada beliau semalam,” katanya.


"Inilah yang dimaksudkan dengan autonomi, kami putuskan dan kami telah membuat keputusan,” katanya lagi.


Ditanya mengenai langkah seterusnya jika kepimpinan pusat mengekalkan Thamrin sebagai ketua, Anthony berkata, perkara itu belum dibincangkan.


Sementara itu Ansari ketika dihubungi Bernama berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.


“Saya anggota sepanjang hayat PKR. Saya akan berkhidmat dengan parti dalam apa juga kapasiti yang diberi kepada saya. Saya akan mematuhi apa juga keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti,” katanya.

1 ulasan: