Pengikut

Isnin, 24 Januari 2011

SPEAKER TIADA KUASA..KATA SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertahankan Perlembagaan Persekutuan memberi mandat kepada badan pengendali pilihan raya itu untuk menentukan kekosongan sesebuah kerusi.


Justeru kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, dalam hal tersebut perlembagaan negeri tidak seharusnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Pada akhirnya, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi (negara),” kata Wan Ahmad kepada The Malaysian Insider.

“Jadi, perlembagaan negeri tidak seharusnya bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan,” tambah beliau.

Wan Ahmad berkata Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada SPR untuk mengisytiharkan kekosongan sementara yang disebabkan oleh faktor kematian, muflis, letak jawatan ataupun kehilangan kerusi di bawah undang-undang.

Peruntukan itu digariskan di bawah Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun menurut Wan Ahmad, SPR akan mengkaji perlembagaan negeri Selangor dan Perlembagaan Persekutuan sebelum memutuskan status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan sama ada perlu dipanggil pilihan raya kecil.

“Jika kekosongan didapati wujud, kami akan menentukan tarikh pilihan raya kecil,” jelas Wan Ahmad lagi.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan SPR adalah badan yang memutuskan sesebuah kerusi itu kosong ekorann krisis perlembagaan negeri Perak pada 2009.

Bagaimanapun, penghakiman itu tidak diguna pakai membabitkan kedudukan di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu memandangkan perlembagaan mereka memperuntukkan bahawa kekosongan biasa hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh ia diumumkan kosong.

Jumaat lalu, Speaker Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata SPR boleh dianggap sebagai menghina Dewan dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor jika tidak mahu memanggil pilihan raya kecil.
Wan Ahmad mengetepikan kenyataan Teng itu.

“Itu hak beliau untuk kata,” kata Wan Ahmad.

“Jika wakil rakyat terbabit (Badrul) membawanya ke mahkamah, kami menyerahkan kepada mahkamah,” katanya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pula berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan penasihat undang-undang untuk menentukan status kerusi DUN Pelabuhan Klang.

“Kami akan mengadakan mesyuarat dan merujuk kepada pakar-pakar perundangan,” kata Abdul Aziz kepada The Malaysian Insider.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan