Pengikut

Rabu, 26 Januari 2011

UMNO YAKIN,JENTERA DAH READY,SEMANGAT MAKIN KUAT

Jentera BN negeri kini sudah cukup bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau.


Pengerusinya, Mohd. Ali Rustam berkata, semangat jentera komponen BN semakin tinggi untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi oleh Allahyarham Mohamad Hidhir Abu Hasan pada pilihan raya umum yang lalu.

Menurutnya, BN cukup yakin untuk mempertahankan kerusi yang belum pernah dimenangi pembangkang sejak merdeka berikutan sokongan rakyat terhadap BN semakin positif.

Ujarnya, lebih menyakinkan adalah sokongan daripada pengundi Cina dan India yang semakin mantap.

”Suasana di DUN Merlimau nampak positif terhadap BN dan ini memberi keyakinan untuk kita menang lagi pada pilihan raya kecil yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya SPR pada bila-bila masa.

”Lebih penting, saya lihat kerjasama daripada semua parti komponen BN terdiri daripada MIC, MCA, PPP, Gerakan dan IPF yang bersedia untuk bergerak pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat peti undi DUN Merlimau di Dewan Platinum Politeknik Merlimau, di sini, semalam.

Majlis taklimat tersebut dihadiri oleh semua pemimpin tertinggi komponen BN.

BN negeri turut melantik ketua-ketua di tujuh peti undi iaitu di Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri berkata, berdasarkan daftar undi sehingga 31 Disember lalu, jumlah pengundi yang terdapat di DUN Merlimau ialah 10,767 dengan Melayu sebanyak 64.1 peratus, Cina, 20.8 peratus, India, 14.4 peratus dan lain-lain bangsa, 0.7 peratus.

Mengulas peluang BN untuk menang, beliau berkata, perkara itu tidak mustahil asalkan jentera komponen BN bekerja keras menemui pengundi hingga ke peringkat akar umbi.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Mohamad Hidhir berjaya mengekalkan kerusinya apabila menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon Pas, Jasme Tompang.

”Sasaran BN adalah untuk menang dengan majoriti yang lebih tinggi daripada apa yang dicapai pada 2008 dan perkara tersebut tidak mustahil untuk dilakukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua cawangan parti komponen BN mula menyusun jentera dan bersiap sedia untuk bergerak sebaik SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan