Datuk Mustapa Mohamed berkata sudah tiba masanya Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berundur setelah hampir 20 tahun memerintah Kelantan.
Katanya ini memandangkan diri Mursyidul Am PAS itu kini diselubungi kemelut politik dan isu negatif yang melibatkan keluarganya.
Sehubungan itu, Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menyarankan Nik Abdul Aziz menjelaskan pendirian berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar berikutan kemelut politik dalaman PAS yang sedang melanda parti itu sekarang.
"Menjelang akhir tahun ini, Nik Abdul Aziz perlu perjelaskan pendiriannya, kerana rakyat Kelantan tertunggu-tunggu, memandangkan beliau selalu uzur, dan khidmatnya begitu lama hampir 20 tahun dengan kerajaan negeri.
"Saya rasa khidmatnya selama 20 tahun sebagai Menteri Besar Kelantan sudah cukup sumbangannya kepada rakyat negeri ini," kata Mustapa kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidiladha di Darulfalah, dekat sini hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan