Pengikut

Jumaat, 27 November 2009

SISTEM DUA PARTI..REALISTIK KAH?






Pada 21 November lalu saya dijemput Institut Kajian Dasar untuk bersama-sama YB Datuk Husam Musa dan YB Teng Chang Khim di dalam forum membincangkan Sistem Dua Parti dan Hubungan Negeri-Persekutuan. Forum tersebut sebahagian daripada Simposium Kebangsaan IKD tentang Pakatan Rakyat dan Bermulanya Sistem Dua Parti di Malaysia.



Husam menyentuh tentang hipokrasi Kerajaan BN dalam hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, sementara Teng pula mengusulkan agar prinsip Federalisme ditafsirkan dengan lebih luas sesuai dengan perkembangan semasa.



ikdsympo001



Dalam ucapan saya, saya bermula dengan memetik tulisan YM Tunku ‘Abidin Muhriz: “Regional autonomy was practised for centuries amongst the present constituent states of Malaysia — the only formal federation in Southeast Asia — yet the country is among the most centrally administered in the region.



Itulah ironinya, bagaimana satu-satunya Persekutuan formal di rantau ini kini semakin terjerat dengan penguasaan Kerajaan Pusat. Saya turut mengingatkan hadirin bagaimana Umno sendiri menentang konsep unitari yang diusulkan Britain menerusi Malayan Union, sebaliknya mengusulkan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.



Dalam sejarah negara kita, wujud beberapa episod pencabulan prinsip Federalisme, antaranya: campurtangan Kerajaan Pusat bagi menjatuhkan Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan pada 1960an, Pemerintahan Darurat di Kelantan pada 1977 yang membolehkan Kerajaan Pusat menjatuhkan Kerajaan PAS, peminggiran hak Sabah di bawah PBS pada awal 1990an dan isu royalti minyak Terengganu dan Kelantan.



ikdsympo002



Sejak 8 Mac 2008, apabila buat pertama kali 5 kerajaan negeri jatuh ke tangan pihak pembangkang kita melihat bagaimana Perak dirampas, Pulau Pinang terus dipinggirkan dan terbaru isu royalti minyak Kelantan.



Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Selangor, kami sendiri melalui beberapa pengalaman yang sama: program People-Centric anjuran bersama Jabatan Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Suruhanjaya Pilihan Raya; halangan Datuk Noh Omar selaku Menteri Pertanian kepada semua pegawai agensi Persekutuan untuk hadir dalam program Kerajaan Negeri dan usaha Kerajaan Persekutuan menggagalkan penstrukturan semula industri air Selangor.



Tema sama yang mendasari insiden-insiden ini jelas: bagaimana sebuah Kerajaan Persekutuan yang dipimpin satu parti (atau pakatan parti-parti) menolak kerjasama dengan Kerajaan Negeri yang dipimpin pihak lawan dan secara tersusun menggunakan jentera kerajaan terhadap negeri-negeri tersebut, lantas terhadap rakyat mereka sendiri!



Malah sejak 8 Mac kini melihat ketegangan antara negeri dan pusat turut menular di negeri-negeri BN seperti perlantikan Menteri Besar di Perlis dan Terengganu.



Jelas sekali, prinsip Federalisme yang mendasari pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia semakin terhakis, ditelan dek zaman, hasil pindaan Perlembagaan kesan majoriti besar BN selama ini.



Kuasa serta sumber kewangan Kerajaan Negeri teramat terhad. Kekuatan kewangan, jentera kerajaan, institusi keselamatan — semuanya di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan. Pada masa sama, saya menegaskan, Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat perlu kreatif dalam mencari jalan dan bukan hanya memberi alasan untuk mengatasi kemelut ini.



Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha mendrafkan Enakmen Kebebasan Maklumat bagi merealisasikan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban. Pun begitu, ketika mana Menteri Besar menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi, Kerajaan Persekutuan cuba mencari jalan menggagalkannya. Dalam insiden Bukit Antarabangsa, rakyat perlu bertanya: bagaimana laporan tanah runtuh mengancam keselamatan atau menjejaskan kepentingan strategik negara?



Pada masa sama, usaha Majlis Bandar Raya Petaling Jaya menubuhkan polis bantuan (auxiliary police) bagi membantu Polis Di Raja Malaysia menjaga keselamatan di Petaling Jaya sehingga hari ini tidak mendapat lampu hijau Kerajaan Persekutuan. Ya, keselamatan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Tetapi sebagai langkah pro aktif sebuah PBT yang mempunyai hasil yang banyak dan dibelenggu jenayah, MBPJ mahu membantu PDRM yang kerap mengeluh kekurangan pegawai polis. Lapangan Terbang, Pelabuhan semuanya mempunyai polis bantuan. Mengapa rakyat Petaling Jaya dinafikan hak tersebut? Di banyak negara lain, polis terletak di bawah kuasa PBT!



ikdsympo003



Bagi memecah kebuntuan ini, kita perlu mencari beberapa jalan. Antaranya melahirkan semangat dwiparti (bipartisanship) antara BN dan PR, memandangkan wujud pihak-pihak di dalam BN yang juga tidak berpuas hati dengan keadaan berat sebelah hari ini (boleh kita tanya YB Datuk Seri Idris Jusoh!). Kesediaan YM Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai kaukus menuntut royalti minyak adalah contoh yang baik, dan harus dikembangkan lagi.



Kita juga mesti memulakan anjakan paradigma daripada mentaliti winner takes all (menang atau kalah kesemuanya) kepada win-win (menang-menang). Jika kita merujuk kepada Perlembagaan kita jelas wujud imbang balik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Cadangan YAB Tan Sri Datuk Abdul Khalid Ibrahim agar diwujudkan Independent Grants Commission bagi memastikan keadilan penyaluran dana kepada Kerajaan Negeri harus dikaji dengan teliti. Bayangkan, rakyat Selangor membayar cukai sebanyak RM16 bilion kepada Kerajaan Persekutuan. Namun bajet Kerajaan Negeri cumalah RM1.3 bilion.


Sebagai anggota Persekutuan, kami menerima perlunya dana Selangor yang kaya ini dikongsi negeri-negeri lain yang lebih memerlukan, tetapi sekiranya setiap negeri dijamin memperoleh minima 20 peratus cukai yang diperolehi daripanya, Selangor sendiri berhak mendapat peruntukan RM3.2 bilion!



Beberapa buah negara berjaya dengan model Federalisme mereka, seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Jerman. Malah negara Indonesia yang secara asasnya adalah republik unitari, semakin melonggarkan kuasa Kerajaan Pusat pasca Reformasi hingga kini gergasi tidur tersebut bangkit kembali dengan kemajuan ekonomi, politik dan sosial yang mengagumkan.



Dalam hal ini, Pakatan Rakyat perlu bersatu. Tekanan terhadap Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat hanya dapat kita hadapi jika kita bersama. Dalam hal ini Konvensyen Pakatan Rakyat dan Persidangan Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat harus digunakan sebaik-baiknya untuk melakar dasar dan kerjasama antara negeri, selain manifesto di peringkat nasional.



ikdsympo004

Menyebut tentang perkara ini saya ingin mengulas beberapa pandangan kritis tentang kewajaran sistem dua parti di Malaysia. Sahabat saya, Wan Saiful Wan Jan yang mempengerusikan salah sebuah panel dalam simposium yang sama. Dalam kolum The Malaysian Insider beliau, Wan Saiful merasakan sistem dua parti akan merugikan negara dalam jangkamasa panjang memandangkan sistem tersebut membunuh pilihan dan persaingan. Beliau bertanyakan saya perkara sama ketika forum saya berlangsung.



Haris Zalkapli di Harakah Daily pula melihat perbezaan ideologi di dalam Pakatan Rakyat sebagai penghalang sistem dua parti tersebut, memandangkan sistem dua parti memerlukan perbezaan dua ideologi yang jelas.



Sejarah negara membuktikan bagaimana dominasi Umno-BN selama 50 tahun telah menghakis muafakat Perlembagaan yang dicapai ketika Kemerdekaan dahulu. Ya, pilihan raya ada, tetapi pilihan raya tersebut tempang dan antara tempoh pilihan raya tersebut rakyat tidak merasai nikmat demokrasi: media dikongkong, garis parti/kerajaan kabur, hak-hak asasi dicabuli.



Antara faktor yang membolehkan hegemoni Umno-BN wujud ialah masyarakat kita yang majmuk. Hanya Umno-BN yang berjaya mendapat sokongan seluruh spektrum masyarakat; PAS hanya mampu meraih sokongan di kawasan majoriti besar Melayu di Utara dan Pantai Timur sementara DAP pula meraih sokongan kawasan majoriti besar kelas pekerja Cina.



Dalam hal itu PAS dan DAP boleh fokus kepada pengundi masing-masing, menjuarai isu-isu kelompok mereka namun gagal melakar agenda nasional yang mampu menarik sokongan semua. Justeru BN selesa di tampuk kekuasaan.



Lahirnya Keadilan yang bersifat pelbagai kaum mengubah senario ini. Ditambah pula rasa jelek terhadap sentimen perkauman dan penderitaan dasar ekonomi Umno-BN pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu menimbulkan situasi unik di mana rakyat pelbagai kaum buat pertama kali menolak Umno-BN bersama-sama. Sebelum ini hanya satu kaum yang menentang Umno-BN: 1986 kaum Cina dan 1999 kaum Melayu.



Femonena unik melibatkan pengundi Cina, India dan Melayu bandar pada 2008 sukar untuk diulang tanpa kesepakatan Pakatan Rakyat untuk berada di jalur tengah dan menjadi sebuah pakatan parti politik yang bersatu-padu dengan prinsip-prinsip asas dan dasar-dasar bersama yang jelas.



Justeru pendaftaran dan Konvensyen Pakatan Rakyat Disember ini teramatlah penting. Selepas serangan media dan kegagalan kita menunjukkan imej bersama yang lebih erat, kita tidak boleh melepaskan peluang ini.



Pandangan bahawa dengan membuka lebih banyak persaingan dalam arena politik akan mengangkat tahap politik kita mengandaikan semua parti politik akan bersaing atas padang yang sama rata: media yang adil, peruntukan pembangunan yang saksama dan pegawai kerajaan yang bebas dan menerima semua parti dengan terbuka.



Namun, tanpa kerjasama yang jelas, pihak lawan kepada BN akan terus rapuh dan berpecah seperti dahulu kala. Adakah situasi bagi pihak pembangkang akan bertambah baik dalam keadaan tersebut?



Ini bukannya bermakna kita mahu Pakatan Rakyat menjadi seperti Umno-BN, yang mana Umno berperanan sebagai “abang sulung” dan ruang untuk berbeza pendapat dan mengkritik pimpinan teramat sempit. Itu politik lapuk yang tidak relevan.



Hakikat bahawa tiada parti perkauman di dalam Pakatan Rakyat menghalang elemen “abang sulung”. Pimpinan Pakatan Rakyat perlu berlapang dada terhadap perbezaan pendapat dan pandangan kritis. Tetapi prinsip collective responsibility yang bukan sahaja berasaskan demokrasi Westminster Britain malah berakar umbi dalam adab berjemaah Islam daripada zaman Rasulullah s.a.w. harus dijunjung. Wujud perbezaan antara anggota kerajaan dan seorang wakil rakyat backbencher.



Sesiapa yang mengikuti perkembangan politik di Barat mengetahui bahawa walaupun setiap parti utama berasaskan prinsip-prinsip asas yang disepakati bersama wujud pelbagai perbezaan pandangan. Di Britain Tony Blair dan Gordon Brown memimpin Parti Buruh yang sederhana dan menerima realiti pasaran, namun masih ada sosialis lama yang menentang keras perubahan tersebut. Parti Demokrat sendiri ada sayap kanan dan kirinya.



Malah, setiap gerakan politik yang berjaya berasaskan gabungan luas yang melibatkan pelbagai kelompok fokus pada matlamat bersama. Ya Pakatan Rakyat ada golongan liberal, ada golongan sosialis dan ada golongan Islam. Tetapi dalam isu menjunjung Perlembagaan, pilihan raya yang bebas dan adil, ekonomi yang dinamik dan sejahtera, memartabatkan hak asasi manusia, saya tidak fikir kita banyak berbeza. Pengalaman kita menjadi mangsa pemerintahan autoritarian Umno-BN seharusnya mengajar kita tentang perubahan yang kita inginkan. Dalam hal ini setiap parti politik harus mencari titik temu yang relevan untuk kelompok besar rakyat Malaysia.



Dalam Islam sendiri, hatta sesama golongan Ahlul Sunnah Wal Jamaah kita ada perbezaan dalam perkara furuk (cabang) sedangkan asas iktikadnya sama. Namun kita juga boleh belajar dari dinamisme ini di mana kesepakatannya bukannya ‘dipaksa’ dari atas, tetapi timbul daripada masyarakat yang lahir dari ijmak ulama’.



ikdsympo005



Justeru wujud mekanisme seperti pemilihan satu ahli satu undi (sebagaimana telah dibuat Keadilan) dan pemilihan calon oleh peringkat akar umbi (sebagaimana cadangan Tengku Razaleigh untuk Umno dan diamalkan di Britain) boleh dipertimbangkan. Dengan ini sistem dua parti pun mengekalkan suatu dinamisme dengan masyarakat yang ramai dan mewakili jamak pandangan.



Pun begitu, saya tidak nafikan mungkin di masa hadapan kita perlu memikirkan situasi berbeza. Sekiranya kita mengubah sistem pilihan raya daripada first-past-the-post kepada satu bentuk proportional representation tidak mustahil kita melihat situasi lebih fleksibel seperti di Jerman dan Indonesia. Namun jika rakyat tidak bersedia, sistem ini mungkin melahirkan kelompok ekstrim dalam politik. Kita boleh memperbaiki sistem sedia ada dengan kembali kepada peruntukan asal Perlembagaan yang mana perbezaan antara kawasan Parlimen tidak boleh melebihi 15 peratus antara satu sama lain. Peruntukan ini dimansuhkan pada 1962 sehingga timbul situasi cacamerba hari ini.


Justeru, kita harus berbalik kepada perkara asas. Buat masa ini, melihat realiti masyarakat Malaysia, sistem dua parti adalah suatu kemajuan buat demokrasi kita. Sekurang-kurangnya, dua parti adalah lebih baik dari dominasi satu parti selama ini!

ybniknazmi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan