SPR menolak dakwaan DAP bahawa mereka sengaja melengah-lengahkan pengumuman keputusan undi pos PRK Sibu di sini malam tadi.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata ejen parti itu sebenarnya yang telah menghalang pegawai SPR itu daripada membawa keluar peti undi pos yang sudah dikira di Tingkat 9, Wisma Sanyan, untuk dibawa ke Dewan Suarah Sibu, kira-kira 3 kilometer dari situ, untuk penjumlahan undi.
Berikutan itu, keputusan PRK itu hanya dapat diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya, Wong See Meng, kira-kira 11 malam tadi, walaupun SPR sebelumnya menjangka keputusan dapat diumumkan pada 9 malam.
Calon DAP, Wong Ho Leng, memenangi PRK dengan majoriti 398 undi setelah memperolehi 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas, Narawi Haron, meraih 232 undi.
Bilangan undi pos pada PRK ini ialah sebanyak 2,429 undi.
Abdul Aziz juga kesal dengan sikap beberapa pemimpin pembangkang dari luar Sarawak yang tidak menghormati peraturan semasa berada dalam dewan penjumlahan undi.
"Mereka cuba menunjukkan mereka boleh membuat apa sahaja tanpa perlu mengikut peraturan dan ini tidak baik dan tidak harus ditunjukkan kepada orang tempatan di sini yang tinggi semangat hormat-menghormati," katanya.
Secara keseluruhan, Abdul Aziz berkata PRK di Sibu boleh disifatkan antara yang terbaik berbanding PRK yang diadakan sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan