PERAKKUME
IA tidak sepatutnya berakhir begini.
Gordon Brown berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri sejak sekian lamanya.
Cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri begitu kuat sehinggakan beliau sanggup menekan rakan karib yang juga bosnya, Tony Blair agar menyerahkan kerusi tersebut kepadanya belum pun sempat Blair menghabiskan penggal ketiganya sebagai Perdana Menteri dan pemimpin Parti Buruh.
Malangnya, selepas beliau berjaya memegang jawatan itu, Brown hanya sempat bertahan untuk tiga tahun sahaja - jauh lebih singkat daripada James Callaghan, pemimpin Parti Buruh yang terakhir untuk dilantik menjadi perdana menteri tanpa perlu melalui pilihan raya umum sepertimana Brown juga.
Ketika mula-mula muncul dalam hirarki politik Parti Buruh, Tidak ramai yang menyedari yang beliau menaruh cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.
Tetapi dari saat beliau terpilih sebagai MP pada tahun 1983, hasratnya itu sangat jelas. Beliau mendaki tangga politiknya dengan begitu pantas sekali bermula sebagai anggota shadow cabinet di bawah pimpinan Neil Kinnock, bersama-sama rakan karibnya Tony Blair.
Namun begitu, apabila penganti Kinnock iaitu John Smith mati secara mengejut pada tahun 1994, bukan Brown yang terpilih untuk mengetuai parti itu tetapi sebaliknya Blair.
Dan setelah Blair dengan cemerlangnya memimpin Buruh untuk menewaskan parti Konservatif pimpinan John Major, Brown telah dilantik menjadi Menteri Kewangan.
Di bawah terajunya, Brown melakukan beberapa pembaharuan termasuklah memberikan lebih banyak kebebasan kepada Bank of England, ekonomi yang berkembang dan inflasi yang rendah.
Selepas sepuluh tahun menerajui kementerian tersebut dan populariti Blair berada di tahap yang paling merudum akibat kemuraman ekonomi serta penglibatan Britain dalam perang Iraq dan Afghan, Brown melihat inilah peluang terbaiknya untuk memaksa Blair melepaskan jawatan PM kepadanya.
Ini menjadi realiti pada musim panas 2007. Beliau langsung melafazkan janji-janji perubahan pada pentadbiran dan mengembalikan kepercayaan rakyat ke atas kerajaan.
Malah beliau memberi indikasi kemungkinan untuk mengadakan pilihan raya awal selepas tinjauan menunjukkan rakyat memberi tanda 'lulus' kepada kerajaan di bawah pimpinannya tetapi kemudiannya mengubah fikiran dan tidak lama selepas itu ratingnya mula menurun.
Petanda awal ialah apabila calon Parti Buruh tewas untuk jawatan Datuk Bandar London dan beberapa lagi pilihan raya Dewan Bandaraya serta dua pilihan raya kecil iaitu di Crewe dan kubu kuat Buruh sendiri di Glasgow, Scotland.
Kemudian pada musim panas tahun lalu, tiga menteri dalam kabinet Brown meletakkan jawatan dan diikuti dengan dua lagi menteri melepaskan jawatan masing-masing pada Januari baru-baru ini. Semuanya ini adalah petanda awal malapetaka yang bakal menimpa kerajaan pimpinan Brown.
Namun seorang jurugambar berkata, petanda yang paling jelas ialah ketika dilantik ke jawatan Menteri Kewangan 13 tahun lalu, Brown mempunyai rambut lebat yang hitam pekat tetapi ketika beliau mengadakan sidang akhbarnya buat kali terakhir di hadapan Pejabat PM di No 10, Downing Street, yang jelas kelihatan ialah rambut kelabu Brown.
oleh : rozaid a. rahman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan