Bekalan air di dua jajahan di Kelantan iaitu Pasir Mas dan Tumpat berada dalam keadaan kritikal berikutan musim kemarau yang berpanjangan sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Jabatan Operasi dan Perkhidmatan Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Mohd Asri Awang, berkata pengguna di dua jajahan itu dinasihat berjimat dan mengambil langkah perlu seperti menyimpan air kerana keadaan itu dijangka berterusan sehingga akhir bulan ini.
"Dijangkakan sekiranya tiada hujan dalam tempoh terdekat ini, paras air sungai Kelantan akan surut ke paras berbahaya dan pengeluaran dari Loji Kelar mungkin akan berkurangan sehingga 40 peratus," katanya.
Mohd Asri, bagaimanapun, berkata AKSB menyediakan kemudahan tangki statik di beberapa lokasi yang kritikal untuk keperluan pengguna manakala dua lori akan membekalkan air kepada pengguna kritikal seperti hospital dan sekolah berasrama.
"Kita berharap pengguna dapat bersabar dengan keadaan yang berlaku dan bersama-sama mendoakan supaya paras air sungai Kelantan kembali normal supaya bekalan air dapat dipulihkan seperti biasa," katanya.
Tinjauan Bernama di kedua-dua jajahan itu mendapati penduduk telah mula mengambil langkah-langkah perlu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bekalan air terjejas teruk akibat kemarau tahun ini. Malah, ada sesetengah penduduk mengambil inisiatif menggali telaga tiub dan menyediakan tangki tambahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan