Samy Vellu yang menjawat jawatan Duta Khas Malaysia bertaraf menteri bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan Sabtu lalu, akan memulakan khidmatnya bermula dengan New Delhi, Khamis ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Samy Vellu di sini hari ini, beliau akan mengetuai delegasi 150 kaum India Malaysia untuk menghadiri Pravasi Bharatiya Divas kesembilan, satu persidangan tahunan yang menghimpunkan masyarakat berketurunan India dari seluruh dunia.
Bekas Menteri Kerja Raya itu akan mengadakan perbincangan dengan pegawai peringkat tertinggi kerajaan India di luar persidangan empat hari di New Delhi untuk menyediakan asas ke arah membuka lebih banyak peluang untuk diteroka oleh ahli perniagaan Malaysia di India.
Persidangan itu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh pada Sabtu itu akan turut dihadiri menteri Kabinet India, termasuk Menteri Kewangan, Pranab Mukherjee, dan Menteri Pengangkutan dan Lebuh Raya, Kamal Nath, yang bertanggungjawab terhadap projek infrastruktur di India.
Bekas Presiden MIC yang meletak jawatan bulan lalu setelah menerajui parti selama 31 tahun itu dilantik sebagai Duta Khas Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk memanfaatkan pengalaman Samy Vellu dalam mendapatkan projek bernilai berbilion ringgit bagi syarikat dari Malaysia semasa berkhidmat sebagai Menteri Kerja Raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan