''Pembangkang jangan derhaka. Jangan cuba mencabar kuasa Sultan Selangor.''
Itu tegas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar berhubung tindakan biadab pembangkang yang cuba mempertikai kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap pelantikan Datuk Muhammed Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor yang baru.
Jelas beliau, apa yang berlaku jelas menampakkan pembangkang hanya tahu menghormati undang-undang jika ia memihak kepada mereka semata-mata.
''Jika tidak memihak dan merugikan, mereka akan tuduh itu tidak adil, ini tidak adil. Bukan sahaja kuasa raja-raja Melayu, polis dan mahkamah juga akan dituduh tidak adil jika apa jua keputusan tidak memihak kepada mereka.
''Inilah sebenarnya perangai pembangkang terutama PKR dan DAP. PKR, hendak urus parti pun huru-hara, inikan pula hendak tadbir urus negara?
''Kita bimbang kalau mereka berkuasa nanti, negara ini akan huru-hara. Kuasa sultan pun nak dipertikaikan. Kalau semua orang berfikiran seperti mereka, negara sudah pasti tidak akan maju dan aman,'' katanya.
Beliau mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang mempertikai kuasa Sultan Sharafuddin berhubung pelantikan Muhammed Khusrin.
Antaranya,ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang mendakwa isu pelantikan SUK yang baru sebagai tindakan pilih kasih institusi beraja terhadap pakatan pembangkang dan BN.
Dengan biadab, beliau seperti yang ditulis dalam blognya,cuba menyamakan ketegasan Sultan Sharafuddin yang tidak berganjak dengan keputusan walaupun mendapat pelbagai kecaman daripada pembangkang sebagai ego.
Tidak cukup dengan itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak teragak-agak akan membawa perkara itu ke mahkamah jika pelantikan tersebut diteruskan.
Mengulas lanjut, Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, tidak kira siapa, kuasa sultan dan raja-raja Melayu harus dihormati.
Ditanya mengenai tindakan Karpal Singh yang akan mengheret perkara tersebut ke mahkamah, jelasnya, ia sememangnya menjadi kegemaran pemimpin parti DAP itu.
''Beliau memang selalu mencabar kuasa-kuasa sultan dan sudah lama menunggu peluang berbuat demikian. Dalam hal ini, beliau akan bertindak selaku hero.
''Kepada pemimpin pembangkang di Selangor yang pertikaikan kuasa Sultan Sharafuddin, mereka ini tidak layak berada di Selangor,'' ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar turut senada dengan Noh sambil memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak mempertikaikan kuasa raja-raja Melayu.
''Kita menentang sekeras-kerasnya tindakan mereka yang cuba menafikan kuasa raja-raja Melayu. Mereka ini derhaka dan perlu ditentang habis-habisan,'' tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan