
Seorang anggota parlimen hari ini menegur dan meminta seorang timbalan menteri agar jangan memberi jawapan menggunakan bahasa retorik tanpa menyatakan tindakan positif yang diambil khususnya mengenai jenayah ke atas kanak-kanak seperti rogol, penculikan, dan penderaan.
"Kita ingin tahu apakah tindakan yang boleh dilihat oleh rakyat, tindakan yang jelas, jawapan yang positif," kata Datuk Dr Makin @ Makcus Mojigoh (BN - Putatan)
Dr Makin mengulas jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Chew Mei Fun semasa menjawab soalan daripada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).
Fong bertanya adakah kerajaan menyedari kesulitan dan kelewatan mahkamah membicarakan kes-kes yang melibatkan kanak-kanak dan apakah pendekatan yang diambil untuk menangani masalah itu.
Ketika menjawab soalan itu, Chew berkata kementerian telah mengadakan perbincangan dengan ketua hakim negara dan menjalin kerjasama dengan agensi-agensi terlibat seperti Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu kelewatan tersebut.
"Berdasarkan kepada perbincangan tersebut, adalah didapati bahawa kelewatan berlaku melibatkan banyak pihak dan bukan hanya pihak mahkamah semata-mata," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga sedang menggubal Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara dan Pelan Tindakan Dasar Kanak-kanak Negara sebagai salah satu cara untuk meningkatkan kebajikan kanak-kanak.
"Dengan adanya pelan tindakan itu, kita akan memperuntukkan program dan tindakan dalam jangka masa tertentu, bersama Kementerian Pelajaran dan polis dan beberapa pihak lain yang terlibat.
"Kita juga dalam proses untuk mengadakan talian bantuan," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan