Pengikut

Jumaat, 7 Mei 2010

KRISIS ISTANA KELANTAN : TENGKU FAKHRY TAK DISENARAI

PERAKKUME


Hanya lima orang sahaja buat masa ini yang dibenarkan menziarahi Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang kini sedang dirawat di HUSM Kubang Krian.


Bagaimanapun nama Tengku Fakhry tidak terdapat dalam senarai tersebut.


Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah berkata semalam, lima individu yang dibenarkan menziarahi Sultan ialah Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Hamid; anakanda baginda, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Amalin A'ishah Petra serta dua ahli keluarga terdekat.



Amir Hamzah berkata, dakwaan yang mengatakan Tuanku Sultan sedang ditahan di dalam wad adalah tidak benar sama sekali sebaliknya kawalan keselamatan yang ketat dikenakan berikutan insiden seorang Pengawal Istana ditembak baru-baru ini.



Polis katanya sekadar melaksanakan titah perintah Pemangku Raja.



Semalam juga, ayahanda saudara kepada baginda Sultan Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah yang juga merupakan abang kepada Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan kenapakah keluarga diraja Kelantan tidak dibenarkan menziarahi baginda Sultan di HUSM.



Bagaimanapun berdasarkan titah Tengku Muhammad Faris, mereka yang ingin melawat Sultan perlulah mendapatkan kebenaran daripada Pemangku Sultan terlebih dahulu.



Dalam pada itu, peguam yang mewakili Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra hari ini memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari HUSM di Kubang Kerian, Kelantan, di mana baginda menerima rawatan sejak Selasa lepas.



Writ itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas di sini kira-kira 11.45 pagi menerusi tetuan J.S. Pillay & Mohd Haaziq.



Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail, putera ketiga Sultan.



Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.



Writ itu menamakan lima responden iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ketua Pengarah Kesihatan dan Kerajaan Malaysia.



Peguam Kanan Datuk Param Cumaraswamy yang hadir bersama peguam Gobind Singh Deo dan Datuk Mohd Haaziq Pillay, berkata ini merupakan kes pertama di dunia apabila writ habeas corpus difailkan bagi memohon pembebasan seorang pemerintah negeri.



Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan