Pengikut

Rabu, 30 Jun 2010

AGEN ASING DALAM KABINET NAJIB





Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar membuat andaian bahawa kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seakan turut disertai oleh agen asing, sama ada dari Singapura mahupun Brunei Darussalam.


Beliau membuat andaian demikian ekoran melihat insiden penyerahan dua telaga minyak, Blok L dan Blok M pada kerajaan Brunei Darussalam; serta isu penyerahan tanah KTM di Tanjong Pagar pada kerajaan Singapura yang nyata lebih merugikan kepentingan dan kedaulatan negara.

“Mesti ada yang tidak kena, seolah-olah ada agen asing tak kiralah agen Singapura atau (agen) Brunei dalam kabinet Najib, yang mendapat manfaat kewangan dalam kedua-dua rundingan ini,” tegas beliau pada Harakahdaily.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, kalau Najib atau delegasi Malaysia bukan agen asing seperti yang beliau andaikan, sepatutnya natijah dari rundingan negara dengan Brunei dan Singapura itu sudah tentu dilihat lebih menguntungkan kepentingan negara.

“Kalau tidak, mengapa Najib sanggup setuju 40 nisbah 60 dalam membangunkan tanah bernilai tinggi di Tanjong Pagar sedangkan kita boleh bangunkan sendiri sebab itu milik mutlak kita sebelum Singapura Malaysia berpisah,” beliau menambah.

“Kita pun tak tahu betulkah Limbang diserahkan pada kita kerana perkata itu tidak pernah dibentang di Parlimen tapi penyerahan kedua-dua telaga minyak ini jelas menguntungkan Brunei.”

Sehubungan itu, beliau berkata, andaian peribadinya itu adalah tidak keterlaluan memandangkan Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri sebelum ini pun seakan mengaku bahawa agen Singapura benar-benar wujud dalam negara.

Ujarnya lagi, Dr. Mahathir pernah membuat andaian demikian apabila Datuk Kalimullah Maseerul Hassan yang diwar-warkan pro Singapura tiba-tiba dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Kumpulan Akhbar dalam New Strait Times Press (NSTP), empat tahun yang lalu.

Katanya lagi, beberapa media alternatif pada ketika itu pun turut dilihat bersama-sama Dr. Mahathir dengan mengaitkan NSTP yang baru disertai oleh Kalimullah bertanggungjawab dalam membocorkan maklumat keselamatan negara pada Strait Times Singapore apabila akhbar perdana Singapura itu lebih awal memasyhurkan Najib sebagai Perdana Menteri, sebelum Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Ekoran itu, beliau mencabar Najib menyangkal andaiannya dengan mendedahkan di Dewan Rakyat berhubung inti sebenar di sebalik kedua-dua rundingan yang merugikan negara dalam masa terdekat.

“Najib boleh sangkal dakwaan saya ini bahawa kebinet Najib mungkin disertai agen asing ini, tetapi dia mesti sangkal saya dengan mendedahkan inti rundingan sebenar, siapa yang terlibat dan apakah kewajaran kebinet menggadaikan kedaulatan negara pada Singapura dan Brunei dalam kedua-dua isu ini,” tegas beliau sambil menganggap bahawa kedua-dua rundingan tersebut adalah tidak sah kerana tidak pernah dibahas di Parlimen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan