Demikian lapor blog The Kelantan Insider, yang selalu melaporkan apa yang berlaku dalam isu krisis Istana Kelantan sekarang.
Umno Kelantan khasnya Mustapha sendiri mendapat malu besar apabila majlis gilang gemilang yang dirancangkan pihaknya untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal segagal-gagalnya.
Ia bermula pada tengahari 16 Jun lagi apabila kerajaan negeri Kelantan menarik diri dari menjadi penganjur bersama majlis itu.
Pengumuman menarik diri itu dibuat oleh empat Exco kerajaan negeri sebaik sahaja selesai mesyuarat Exco yang dipengerusikan Nik Aziz.
Kerajaan negeri juga menarik balik beberapa acara penting yang sepatutnya disediakan kerajaan negeri pada malam itu.
Pemangku Raja Kelantan juga telah tidak menyertai majlis itu yang menurut jadual asalnya bagindalah yang akan merasmikannya.
Sebaliknya, Najib yang jadualkan merasmikan Fiesta itu. Pada jam 8 malam, RTM masih lagi menyiarkan makluman, pihaknya akan membuat siaran langsung majlis perasmian pesta itu.
Namun, sebaik sahaja malam tiba, hujan selebat-lebatnya malanda Kota Bharu. Penonton yang hadir pula tidak sampai 500 orang. RTM pula telah membatalkan siaran langsung pelancaran itu.Najib pula tidak kunjung tiba untuk merasmikan Fiesta itu dan yang tiba adalah Mustapha sendiri yang memaklumkan Najib tidak dapat hadir kerana ada hal lain.
Yang sedihnya, pada malam itu Mustapha terpaksa bercakap melalui pembesar suara tangan (loud healer) kerana bekalan elektrik terputus.
Menurut Kelantan Insider, pada malam 14 Jun 2010, sewaktu raptai penuh majlis perasmian Kelantan Fiesta dilakukan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, bapa kepada Ketua Pegawai Eksekutif Red Carpet Worldwide Sendirian Berhad (Shahrul Nasrun Datuk Kamarudin), iaitu Datuk Kamarudin Abdullah, pula diberitakan telah dengan secara terbuka menghamburkan beberapa kata-kata kurang sopan seperti berikut:
1. Bahawa Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ini, seperti kata orang-orang tua, umpama “berak atas pusu”.
2. Bahawa Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sahaja tidak akan dibenarkan untuk berucap malah perlu diberitahu supaya tidak hadir ke majlis perasmian Kelantan Fiesta pada malam 16 Jun 2010.
3. Bahawa jika Kerajaan Negeri Kelantan memikirkan bahawa wang sebanyak RM200,000 yang telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kelantan Fiesta itu adalah satu jumlah yang besar maka pagi esok, sebaik sahaja kaunter bank dibuka, wang itu akan dipulangkannya kembali kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
"Turut mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh Datuk Kamarudin Abdullah ini adalah dua orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, iaitu YB Abdul Patah Mahmood dan YB Datuk Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Bahagian Pengurusan), Haji Shafei Ismail, dan Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Kelantan, Ahmad Shargowi Deraman," lapor blog itu.
Menurut blog itu lagi, langkah Pemangku Raja Kelantan, Tengku Faris Petra tidak menyertai Kelantan Fiesta 2010 yang gagal baru-baru ini adalah kerana pihak penganjur tidak mematuhi protokol istana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan