Pengikut

Selasa, 22 Jun 2010

BERITA PERAK: SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA





Tentunya rumit, perit dan cabaran yang besar bagi ibu tunggal yang berpisah dengan suami serta tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap mahupun harta.

Itulah yang terjadi kepada P Kaliama, apabila kehilangan suami tercinta pada 1 Jun lalu dan kini hidup bersama lima anaknya di atas tanah setinggan Tronoh Mines. Menurut Kaliama, mendiang suaminya sebelum ini hanya bekerja sebagai buruh kasar dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Saya seorang suri rumah sepenuh masa dan hanya mengharapkan rezeki daripada kerja suami sebelum ini.

“Kami hanya mampu menyekolahkan tiga orang anak sahaja kerana kesempitan hidup walaupun saya tahu pelajaran amat penting tetapi apakan daya saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, keluarganya amat mengharapkan bantuan segera daripada pihak berkaitan dalam menguruskan kebajikan anaknya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar berkata, lebih malang mendiang tidak mempunyai kad pengenalan walaupun dilahirkan di Malaysia.

“Kaliama mempunyai kad pengenalan namun kelima-lima anaknya tidak dan kecuaian ini mengakibatkan masalah besar kepada anaknya yang masih kecil.

“Saya melihat perkara ini amat serius malah kita tidak ketahui apakah punca ia terjadi namun bagaimanapun saya akan mengambil langkah untuk mendapatkan surat beranak bagi kelima-lima anak tersebut,” katanya.

Katanya, perkara ini telah dimaklumkan kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pegawai terbabit menziarahi serta memberi bantuan kepada keluarga tersebut.

“Kita sudah melawat keluarga ini pada hari kematian dan menguruskan jenazah mendiang manakala ahli DAP di kawasan ini juga memberi bantuan dan menghulurkan sumbangan kewangan bagi kerja-kerja pengebumian.

“Selain itu, kehadiran pegawai JKM ke rumah mangsa amat dihargai dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul termasuk semua pihak yang prihatin dalam membantu keluarga miskin ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan