Pengikut

Ahad, 27 Jun 2010

TIADA MASALAH-DS WAN AZIZIAH






Pemukiman Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung selama dua hari bermula semalam tidak membincangkan mengenai dakwaan wujudnya gesaan supaya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatannya.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dakwaan gesaan berkenaan tidak termasuk dalam agenda program berkenaan.

"Saya tak tahu apa-apa (mengenai dakwaan) dan tiada perbincangan ke arah itu," katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini semalam.

Sebaliknya Wan Azizah berkata, pemukiman itu hanya membincangan isu mengenai persiapan parti menghadapi pilihan raya umum akan datang dan pemilihan parti pada November depan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan media yang menyatakan wujudnya 15 Ahli Parlimen mahu mendesak supaya Abdul Khalid melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Ditanya sama ada terdapat isu-isu berbangkit dalam PKR terutamanya di Selangor, Wan Azizah berkata: "Tak ada... mana ada apa-apa isu di Selangor, semua baik, tak ada masalah."

Sementara itu, Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas ketika ditemui menafikan mengenai kewujudkan 15 pakatan Ahli Parlimen seperti yang didakwa.

Beliau yang mengetuai sekretariat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR menyatakan tidak mengetahui mengenai perkara itu dan mempersoalkan kesahihan laporan berkenaan.

"Kenapa 15, kenapa tidak 20 atau 29? Semua itu hanyalah nombor yang didakwa oleh seseorang (yang tidak diketahui).

"Saya yang mengetuai sekretariat inipun tak tahu mengenai perkara berkenaan," katanya.

Diminta mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan beliau mendalangi pakatan berkenaan yang menyuarakan bantahan terhadap Abdul Khalid, beliau berkata: "Kenapa saya? Soal yang dibangkitkan dalam media, tidak dibincang dengan khusus, tidak ada petisyen atau memorandum, kalau ada tentu saya tahu."

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu dibincangkan sekiranya ia dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Parti hari ini.

"Benda ini tak ada dalam agenda kita, tapi kalau ada pihak yang bangkitkan, tak ada masalah untuk kita bincang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan