Pengikut

Selasa, 22 Jun 2010

DEDAH SEGERA KES MB N.SEMBILAN





Pejabat Peguam Negara digesa supaya mendedahkan hasil siasatan yang dijalankan berhubung dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan terlibat dengan penyaluran wang berjumlah RM10 juta ke United Kingdom pada 2008 melalui perkhidmatan pengurup wang.

Loke Siew Fook (DAP-Rasah) berkata, satu penjelasan terpeinci mengenai status siasatan bagi dakwaan berkenaan perlu dikemukakan bagi membersihkan nama Menteri Besar itu.

"Kalau Menteri Besar Negeri Sembilan tak pernah terlibat, ini adalah platform terbaik bagi kerajaan untuk membersihkan nama beliau.

"Jika benar tak ada, mereka nafikanlah... ini perkara serius, kita harap Pejabat Peguam Negara perlu jawab perkara ini," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada jawapan bertulis oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung soalan mengenai status siasatan terhadap Mohamad dan apakah tindakan yang telah dan akan diambil terhadap beliau.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri yang hanya menyatakan bahawa Bank Negara telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurup wang yang terlibat dalam aktiviti pengiriman wang secara haram ke luar negara.

"Ini yang kita persoalkan, mengapa hanya pengurup wang sahaja yang diambil tindakan? Bagaimana dengan pengirim?

"Saya fikir ini adalah usaha untuk melindungi individu tertentu," katanya.

Dalam jawapan bertulis berkenaan, Perdana Menteri menyatakan hasil siasatan yang dijalankan, Bank Negara mendapati bahawa terdapat kegiatan pengiriman wang ke luar negara secara haram oleh pengurup wang yang menyalahi peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 30(1) Akta Pengurup Wang 1998.

Bank Negara juga telah membatalkan lesen pengurup wang yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan