Badan Perhubungan UMNO Selangor menolak dakwaan bahawa Timbalan Ketua Pembangkang Negeri, Datuk Mohamad Satim Diman akan melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat atas alasan 'merajuk' ekoran kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, pihaknya tidak fikir Mohamad Satim akan melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya kerana dikritik dalam laman-laman blog.
Kata Abdul Shukor, setakat ini pihaknya juga tidak menerima sebarang maklum balas daripada Mohamad Satim mengenai perkara itu.
"Saya tidak fikir dia akan melepaskan semua jawatan dalam parti hanya kerana merajuk dengan kritikan.
"Saya sendiri pun dihentam cukup-cukup menerusi laman blog dengan pelbagai dakwaan. Bagaimanapun, saya teruskan tugas dan tanggungjawab saya seperti biasa," tegasnya.
Abdul Shukor berkata demikian ketika mengulas mengenai khabar angin bahawa ADUN Sri Serdang tersebut akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat.
Tambah Abdul Shukor, sekiranya ada pihak menggunakan alasan tidak hadir mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri yang Satim sendiri selaku Setiausaha, ia tidak bermakna wakil rakyat itu benar-benar mahu berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan