Pengikut

Isnin, 21 Jun 2010

RED CARD FOR UMNO/BN




Umum menyedari bahawa Setiausaha Jemaah Majlis Di Raja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramly telahpun memaklumkan kepada saya bahawa dua darjah kebesaran, DPMJ dan SPMJ telahpun ditarik balik. Saya menerima surat rasmi mengesahkan perkara itu pada 15hb Jun 2010.

Walaupun tiada alasan yang diberikan berhubung penarikan darjah kebesaran itu, saya menerimanya kerana keputusan tersebut bergantung kepada budi bicara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan. Saya dengan berlapang dada bersedia menyerahkan kembali pingat-pingat tersebut. Saya juga memaklumkan kepada Datuk Rahim bahawa pingat ketiga dari Johor iaitu P.I.S akan dikembalikan bersama pingat-pingat lainnya.

Saya menyedari sebaik sahaja menyertai Pakatan Rakyat, pasti berhadapan dengan pelbagai onak dan duri, justeru saya bersiap sedia untuk terus mara bersama perjuangan ini. Ramai dari rakan seperjuangan saya telah membuktikan keteguhan menuntut Perubahan sehingga terpaksa merengkuk dalam penjara. Makanya kehilangan tiga pingat bukanlah satu pengorbanan yang besar, seperti pepatah yang berbunyi, "Tanpa seurat benang aku dilahirkan, tanpa seurat benang jua aku akan kembali." Pendek kata, saya sebenarnya amat bertuah.

Saya yakin UMNO pastinya kesal dengan tindakan mereka untuk mengganggu saya. Sebaik sahaja pengumuman penarikan tersebut, sokongan rakyat datang mencurah-curah terhadap saya dan Keadilan.

Sokongan ini menunjukkan rakyat menolak politik kebencian yang selama ini menjadi sebahagian dari kerajaan UMNO-BN. Mereka juga menzahirkan hasrat untuk menumbangkan kerajaan UMNO-BN yang terbukti muflis idea untuk memacu negara ini ke hadapan.

Apa yang dikesalkan, mereka gagal untuk menangani isu mendasar berkaitan kemaslahatan rakyat terbanyak: kita berhadapan dengan ketirisan serta rasuah yang berleluasa, masyarakat yang terpinggir dan kebijakan ekonomi yang berat sebelah.

Sebaliknya mereka meneruskan amalan politik ugut mengugut yang lapuk dan usang. Tindakan mereka ini hanya memperkukuh iltizam saya untuk bersama PR dan demi memastikan Malaysia yang adil untuk semua.

Saya yakin saya berada di landasan yang tepat. Sepertimana dalam permainan bolasepak, rakyat tahu siapa di antara pemain yang bermain secara jujur atau tidak. Manakala pada tahun 2008 rakyat melayangkan kad kuning, saya pasti tahun 2012, rakyat akan melayangkan kad merah kepada UMNO-BN.


*Kenyataan media oleh Chua Jui Meng berkaitan penarikan balik Darjah Kebesaran Negeri Johor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan