Pengikut

Rabu, 30 Jun 2010

AZMIN "BUDAK JAHAT"





NAIB Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu bahawa beliau 'budak jahat' yang mahukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan.


Tegas Azmin, beliau menyokong penuh Khalid sebagai MB Selangor dan sekarang ini bukan masanya untuk Khalid diarahkan meletakkan jawatan.
"Semasa diretreat KeADILan, saya duduk di sebelah TS Khalid, saya katakan dengan jelas kepada semua yang hadir, ya memang saya ada masalah dengan Tan Sri, tetapi saya tidak sekali-kali mahu merampas jawatan beliau.

"Malah dengan jelas saya tawarkan kepada parti, saya sanggup melepaskan jawatan Adun Bukit Antarabangsa, supaya dengan itu tiada lagi spekulasi bahawa saya mahu merebut jawatan MB," tegasnya.


Begitulah penegasan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, kepada penulis ketika kami sembang-sembang di Parlimen, 29 Jun lepas.
Azmin jelas menunjukkan kekecewaan beliau, terhadap sesetengah pihak sama ada blogger dalam KeADILan dan pucuk kepimpinan tertentu yang sengaja 'mislead' dan memperbesar-besarkan isu jawatan MB.

Menurut Azmin, sebagai Naib Presiden parti, suatu jawatan kanan yang disandang, beliau berhak untuk membuat teguran dan kritikan kepada mana-mana pihak, khususnya pemegang-pemegang jawatan dalam kerajaan negeri.


"Yang saya mahu ialah mereka 'deliver' untuk kepentingan parti dan rakyat, bukan saya mengkritik kerana hendak merebut jawatan.
"Saya tidak gila kuasa, malah saya tegaskan kepada Ketua Umum, saya meletakkan jawatan sebagai Pengarah PKNS atas dasar prinsip, saya tidak gila kuasa, saya tidak gila untuk jadi MB," katanya bersungguh-sungguh.

Merujuk kepada jawatan Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor, menurut Azmin, dalam retreat tersebut beliau dengan tegas menolak jawatan itu.

"Tetapi ini arahan Ketua Umum, arahan parti, saya akur walaupun berat hati saya hendak menerimanya," ujar beliau.
Masalah yang timbul di antara Azmin dengan Khalid digembar gemburkan oleh media, sebagai menunjukkan keretakan dalaman KeADILan yang serius.

Mahupun Azmin ataupun Khalid, tidak menafikan wujudnya perbezaan dalam isu-isu tertentu, tetapi ia hanya membabitkan perbezaan pendekatan, bagaimana yang terbaik untuk memperkukuhkan imej Pakatan Rakyat di mata rakyat.


Keputusan yang dibuat oleh Anwar dengan mengkhususkan tugasan Khalid sebagai MB Selangor, Azmin sebagai pengerusi negeri dan pengerusi Wilayah Persekutuan yang disandang Azmin kepada Dato' Zaid Ibrahim sebagai suatu penyelesaian yang terbaik.


Penganalisis berpendapat isu terbabit dapat diselesaikan dengan lunak dan masing-masing yang didakwa bertelagah, mempunyai tugas dan peranan khusus dan seharusnya lebih fokus.


Dakwaan pertelagahan dalaman KeADILan ini menarik minat bekas MB Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo untuk memberi komen, kononnya ia bukanlah suatu penyelesaian kerana dakwanya, KeADILan ada tiga nakhoda di negeri tersebut.
Khir mendakwa perjalanan parti dan kerajaan tidak dapat berjalan dengan baik kerana wujud individu yang berbeza atas jawatan utama di negeri.

"Buat apa kita hendak ikut Umno, memang kerja depa (mereka) kuasai pengerusi negeri dan kerajaan negeri. Ini pemusatan kuasa yang akan melahirkan diktator sahaja," tegas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Mohd Yusof.
Tegasnya, dalam KeADILan tidak akan wujud diktator kerana mereka menjalankan pentadbiran secara pemuafakatan.

"Khir Toyo tidak payah pertikai Pakatan Rakyat, dia di Selangor pun banyak masalah dalaman Umno yang kelam-kelibut," ujarnya.


Isu ini juga menarik perhatian Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.
"Apa masalahnya wujud perbezaan jawatan MB dengan Pengerusi Negeri?

Dalam PAS pun semasa kita perintah Perak, MB Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, manakala Pengerusi Perhubungan PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang.


"Buat apa kita hendak mengikut cara Umno-BN?" ujarnya. Dengan tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu mempertegaskan sokongan PAS untuk terus memperkukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Apa pun keadaan yang berlaku, nampaknya Umno-Barisan Nasional tidak akan henti-henti membuat serangan untuk menjatuhkan kredibiliti Pakatan Rakyat, khususnya parti KeADILan.

KeADILan, khususnya yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor, seharusnya berusaha mengelakkan isu-isu sebegini timbul kerana ianya amat merimaskan rakyat yang menyokong kita.


Abdul Khalid harus lebih fokus dan mesti melaksanakan keputusan yang diarahkan parti, supaya kerajaan negeri ditadbir mengikut acuan Pakatan Rakyat.


Azmin harus lebih berhati-hati, supaya selepas ini sebarang tindakan dan kenyataan beliau, tidak dilihat sebagai suatu penentangan ke atas kepimpinan Khalid.
Dan, terutama sekali Anwar harus melihat isu-isu yang berlaku sebegini, boleh menggugat persepsi rakyat terhadap kepimpinannya, yang mungkin menjejaskan peluang Pakatan Rakyat di peringkat Persekutuan.

Yang lebih penting, Anwar dan KeADILan sendiri, harus lebih sedar, bahawa banyak lagi 'peluru berpandu' akan dilepaskan Umno-BN menjelang PRU ke-13 nanti.
Kita seharus lebih berhati-hati, supaya hasrat kita untuk memerintah negara selepas PRU ke-13, menjadi realiti bukannya 'mimpi yang tak sudah'.


OLEH: Mohd Rashidi Hasan




Tiada ulasan:

Catat Ulasan