Pengikut
Rabu, 16 Jun 2010
YB BEBAS PROKSI BN- YB AHMAD KASSIM
Kelantangan Anggota Konsensus Bebas yang mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti bahawa anggota-anggota Parlimen PKR telah ditawarkan RM2 juta untuk lompat parti, membuktikan mereka adalah proksi BN.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Ahmad Kassim berkata, desakan Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mahu Anwar mendedahkan komplot lompat parti serta rancangan 16 September, dianggap sebagai sengaja mahu mencetuskan isu bagi meraih populariti.
“Kenapa mereka beria-ia desak Anwar mengenai bukti itu, siapa makan cili, tentu dia terasa pedasnya. Sedangkan Anwar langsung tidak sebut siapa yang dimaksudkannya. Sampai masa kelak, Anwar sendiri akan umumkan,” katanya.
Ahmad berkata, anggota Konsensus Bebas itu juga tiada modal lain untuk dibangkitkan, dan sengaja menimbulkan ‘kekecohan’ untuk menunjukkan sikap mereka yang sebenar, iaitu ‘mesra BN’.
“Mereka kini wakil rakyat Bebas, mungkin sudah tak banyak kerja nak buat, mereka gemar panaskan isu yang tidak berasas pun. Lebih baik mereka bagi tumpuan pada kawasan masing-masing dengan membela nasib rakyat, daripada buat kenyataan tidak bermoral seperti itu.”
Menurutnya, kewujudan Konsensus Bebas itu tidak sedikit pun menjadi ancaman kepada PKR mahupun Pakatan Rakyat (PR) memandangkan badan itu tiada kredibiliti.
“Tidak perlu dilayan desakan mereka. Siapa mereka untuk buat desakan itu, dan apa tujuan mereka sebenarnya, mungkin mereka ada agenda tersendiri yang ada kepentingan peribadi, bukannya dibuat semata-mata untuk rakyat,” katanya.
Ahmad berkata, jaminan daripada Anwar sendiri yang akan memberi keterangan dan mendedahkan maklumat mengenai orang perantaraan yang menyediakan berjuta-juta ringgit kepada wakil rakyat yang lompat parti, sudah cukup membuktikan ianya bukan satu tuduhan semata-mata.
“Perkara sebenar akan diketahui kelak setelah Anwar bersedia membuat pengumuman. Kita tunggu sahajalah dan selepas itu, jika mereka nak ambil tindakan kepada Anwar, silalah sebab bukti-bukti lain akan timbul selepas pendedahan itu dibuat,” katanya.
Mengulas kenyataan jika Anwar gagal kemukakan bukti, beliau tidak layak menjadi Ketua Pembangkang, Ahmad menyindir tindakan itu yang mengaitkan isu berbeza bagi tuduhan terbabit.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan