BN sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Zaid Ibrahim yang menuduh BN membeli undi untuk memenangi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor semalam.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tuduhan yang dilakukan oleh calon PKR itu adalah tidak berasas dan boleh mengelirukan rakyat.
Malah, katanya dakwaan itu adalah sebaliknya kerana berdasarkan pemantauan sepanjang pilihan raya kecil Hulu Selangor itu, pembangkang dilihat 'membeli undi' apabila mengagihkan RM200 kepada pengundi serta barang-barang makanan, beras dan sebagainya.
"Saya hairan kenapa mereka sanggup menuduh kami yang melakukan perkara-perkara yang telah mereka lakukan. Mereka yang mengagihkan wang, dikatakan kita yang mengagihkan wang.
"Kerajaan negeri juga melakukan pelbagai cara untuk menarik pengundi untuk mengundi mereka sehingga mengagihkan borang 5A iaitu borang untuk memohon tanah, dan berkata bahawa kalau mereka kalah, borang 5A ini akan ditarik balik dan tanah tidak akan diberikan kepada rakyat. Bukankah itu merupakan satu sogokan," katanya lagi.
Tengku Adnan berkata, Zaid dan Pakatan Rakyat seharusnya menerima hakikat bahawa rakyat sudah menolak calon yang dipilih untuk bertanding di kawasan itu dan menolak PKR sebagai sebuah parti yang boleh membela nasib rakyat di Hulu Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan