Pengikut

Rabu, 28 April 2010

BENARKAH AKAN ADIL ?





SUARAM mengutuk keras dan kecewa terhadap tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menembak mati individu-individu tidak kira warga Malaysia ataupun warga asing dengan lebih kerap.


Pada 16 April 2010, SUARAM telah mengeluarkan kenyataan akhbar berkaitan penembakan mati oleh PDRM terhadap dua orang warga Malaysia bernama R. Logeswaran (38) dan Satchithananthan (25) serta tiga orang warga Indonesia yang bernama Abdul Sanu, Musdi dan Muhlis. Kini terdapat satu lagi kes tembak mati oleh pihak Polis.


Kali ini mangsanya adalah remaja yang bernama Aminulrasyid yang berumur 15 tahun. Mangsa ditembak mati oleh pihak Polis disyaki terlibat dalam satu kes jenayah yang dikatakan berlaku pada 26 April 2010 di Seksyen 11, Shah Alam.

SUARAM memandang serius terhadap semua kes tembak mati yang dilakukan oleh Polis selama ini. Kami ingin menekankan bahawa menembak mati seseorang dengan sewenang-wenangnya tanpa memberikan peluang untuk membela diri dan tanpa alasan yang kukuh adalah merupakan satu pencabulan hak asasi yang serius.





Kami inginkan maklum balas segera dari pihak Polis apakah perlunya pihak polis menggunakan senjata terhadap seorang remaja yang berusia 15 tahun?



Apakah profil jenayah yang boleh dimiliki oleh seorang remaja yang hanya berumur 15 tahun?




SUARAM sebuah organisasi Hak Asasi Manusia berpendapat penggunaan senjata dan tidak memberikan hak untuk Aminulrasyid membela diri adalah salah dari segi undang-undang Hak Asasi dan ianya melanggari kebanyakan artikel dalam Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Kanak-Kanak (CRC) terutamanya Artikel 16 (1)&(11) dan Artikel 37 yang memberi perlindiungan terhadap kanak-kanak bawah undang-undang dan terlindung dari sebarang hukuman yang tidak berperikemanusiaan ataupun penangkapan tanpa bicara.



SUARAM memahami tanggjungjawab pihak Polis untuk mencegah kegiatan jenayah di Malaysia, namun ianya tidak sesekali boleh memberikan ruang untuk pihak Polis untuk menangkap sebarang individu dan yang penting menggunakan senjata dengan sewenang-wenangnya ke atas sesiapa pun dalam sebarang operasi untuk menahan penjenayah.



Malah SUARAM sebagai sebuah badan Hak Asasi juga agak risau dengan peningkatan angka penggunaan senjata oleh pihak Polis sejak kebelakangan ini. Ini dapat dilihat apabila Kementerian Dalam Negeri menyiarkan dalam satu kenyataan Akhbar di parlimen pada 18 Mac 2010, yang menyatakan bahawa jumlah kes tembak mati oleh polis adalah seramai 183 orang dari tahun 2007 hingga 2009.



SUARAM berpandangan kejadian kes-kes polis menembak mati suspek berlaku secara luas adalah disebabkan oleh kerana tiadanya mekanisme yang telus dan jelas tentang penggunaan senjata api oleh Polis. Malah apa yang lebih mengecewakan adalah dokumen panduan dalam menggunakan senjata api di Malaysia tidak dapat dirujuk oleh orang awam.



Ini dengan jelas membuktikan bahawa penggunaan senjata api oleh polis tidak diimbangi oleh pemeriksaan awam dan sekaligus menyebabkan tahap akauntabiliti yang amat rendah di dalam institusi polis. Memandangkan Kerajaan Malaysia berminat untuk bertanding untuk menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi 2010-2013, adalah wajib bagi kerajaan untuk mengambil langkah untuk memastikan masalah-masalah mengenai hak asasi manusia ditangani berdasarkan prinsip-prinsip dan undang-undang antarabangsa.





Penembakan mati terhadap seseorang tanpa sebarang perbicaraan atau secara sewenang-wenangnya adalah dianggap sebagai kes pembunuhan yang serius. SUARAM menggesa kerajaan untuk membawa empat orang pengawai polis yang terlibat dalam kejadian ini ke muka pengadilan dan dibicarakan di makahmah untuk menegakkan keadilan terhadap mangsa dan keluarga mangsa.



SUARAM menuntut agar pihak Kerajaan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia terutamanya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera.



Sekiranya langkah-langkah ini tidak diambil dengan segera, maka semua rakyat Malaysia akan menjadi mangsa penyalahgunaan pihak Polis dan ini sekaligus akan menunjukkan imej yang buruk terhadap Kerajaan Malaysia yang gagal memantau institusi kerajaan yang amat penting dalam sistem Pentadbiran negara.




*Kenyataan media oleh Yap Heng Lung selaku penyelaras SUARAM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan