Pengikut

Jumaat, 23 April 2010

PRK HULU SELANGOR: MAMPUKAH PENGUNDI MELAYU BERUBAH SIKAP?





TEMPOH 48 jam terakhir sebelum berakhirnya kempen PRK Hulu Selangor dilihat sebagai tempoh kritikal bagi kedua-dua parti yang bertanding, sama ada BN mahupun PKR masing-masing sedang menggunakan pelbagai strategi yang ada untuk menyakinkan pengundi di sini agar memilih mereka sebagai wakil rakyat.



Datuk Zaid Ibrahim daripada PKR dikatakan sebagai calon heavyweigt dan hanya menentang calon underdog daripada BN, P. Kamalanathan.



Namun itu bukan persoalannya sekarang, kerana imej Zaid yang juga bekas Menteri tercalar dek tuduhan peribadi seperti menjadi ‘kaki botol ’ dan memiliki kuda dikatakan untuk berjudi.



Biarpun beliau mengakui pernah mengambil minuman keras sebelum ini, namun pengakuan tersebut ibarat satu pendedahan berani mati yang bakal memakan dirinya sendiri. Ini kerana ia dijangka memberi kesan kepada pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka lusa.



Bukan mahu memandang rendah keupayaan bekas ahli Parlimen Kota Baru ini namun itulah hakikatnya apabila perkara tersebut diakui sendiri oleh seorang pengundi yang ditemui di Bukit Sentosa baru-baru ini.



Ibu kepada dua cahaya mata itu, mengakui dia bukan ahli mana-mana parti politik, namun pendedahan Zaid tersebut membuatkan beliau berfikir dua kali untuk memilih calon yang sesuai untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen Hulu Selangor.



“Bagi saya soal prinsip tiada kompromi, mungkin orang lain boleh menerima kesalahan Zaid tapi saya mungkin sukar sedikit. “Tapi ini tidak bermakna saya tidak akan pilih Zaid pada hari mengundi nanti. Apa pun kita perlu lihat kepada perkembangan dua hari ini, mana tahu ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh Zaid,” katanya yang enggan dikenali.



Namun harus diingat sejarah lalu, Zaid bertindak meletakkan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada September 2008 kerana tidak berpuas hati dengan dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wartawan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).



Di mata rakyat beliau dilihat sebagai hero yang meletakkan hak asasi di hadapan berbanding kepentingan peribadi.



Bukan itu sahaja, Zaid yang juga anak kelahiran Kota Baru, Kelantan ini dilihat sebagai hero apabila beliau sanggup dipecat dari Umno selepas menghadiri beberapa majlis parti pembangkang sebelum dipecat pada 2 Disember 2008.



Beliau kemudiannya membuat satu lagi keputusan mengejut apabila menyertai PKR pada Jun 2009.



Namun harus diingat bukan itu sahaja ‘wow factor’ PKR kerana masih ada lagi faktor-faktor lain yang bakal menggugat keselesaan beliau untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini.



Hulu Selangor terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Hulu Bernam (Umno),Batang Kali (Umno) dan Kuala Kubu Baru (MCA).



Ketiga-tiga kawasan ini merupakan kerusi yang dimenangi oleh BN pada pilihan raya umum, Mac 2008 lalu.



Mengikut sejarahnya Hulu Selangor merupakan kubu kuat BN. Bagaimanapun, ia tercalar pada pilihan raya lepas apabila Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel tewas kepada Allahyarham Dr Zainal Abidin Ahmad dengan majoriti tipis 198 undi.



Ramai yang mengatakan ketewasan Palanivel di Hulu Selangor adalah kerana sabotaj ahli-ahli parti komponen BN dan pengundi yang tidak gemar dengan keperibadian pemipin MIC yang didakwa sombong dan tidak turun ke kawasan apabila rakyat memerlukan bantuan.



Namun kali ini pertaruhan MIC dan BN, Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC dilihat membuka ruang untuk BN merampas kembali kerusi tersebut daripada PKR. Kamalanathan dilihat mempunyai peluang untuk menang kerana beliau dilihat sebagai calon yang memiliki rekod yang bersih dan tidak pernah dikaitkan dengan rasuah mahupun isu peribadi yang lain.



Malahan pemimpin pembangkang seperti Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri ceramahnya sepanjang tempoh berkempen di Hulu Selangor mengakui mereka tidak ada isu menyerang Kamalanathan. Katanya, PKR bukan berhadapan dengan MIC sebaliknya Umno dan Barisan Nasional. Bukan itu sahaja, Kamalanathan yang juga anak kelahiran Rawang ini memiliki kemahiran berkomunikasi yang sangat fasih berbahasa Melayu.



Ia seiring dengan kerjayanya sebagai Pengurus Perhubungan Awam di sebuah syarikat swasta di negara ini.



Keramahannya berjumpa dengan pengundi dilihat mampu menarik minat pengundi untuk mengangkat beliau sebagai wakil rakyat mereka di Parlimen.



Apa jua faktor keperibadian pengundi dilihat tidak cukup untuk memastikan siapa yang bakal memenangi saingan kali ini.



Menurut Pensyarah Sejarah, Politik dan Strategi, Prof Madya Dr Ahamd Nidzammuddin Sulaiman faktor penentu dalam pilihan raya kecil kali ini ialah undi Melayu di kawasan Parlimen Hulu Selangor.



“Ini kerana majoriti penduduk di Hulu Selangor ialah orang Melayu. Mana-mana parti yang mampu untuk mendapatkan undi kukuh daripada orang Melayu di Hulu Selangor, parti itu akan menang.



“Jika dilihat kepada pecahan pengundi mengikut kaum, orang Melayu adalah majoriti dengan lebih 50 peratus diikuti dengan orang Cina 26 peratus dan India 19 peratus,” katanya.



Menurut Nidzammuddin, BN perlu mendapatkan undi orang Melayu untuk menang dalam pilihan raya kali ini kerana undi Cina dan India masih memihak kepada Pakatan Rakyat. “Undi Melayu adalah penentu pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, orang Cina dan India masih menyokong pembangkang.



“Namun harus diingat dalam majoriti orang Melayu itu terdapat pengundi atas pagar, mereka ini boleh memberi kesan kepada keputusan pada hari pengundian,” katanya.



Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.Daripada jumlah itu, 34,020 orang atau 52.7 peratus adalah pengundi Melayu, manakala pengundi Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus pengundi.



Mengulas lanjut, beliau yang juga penganalisis politik berkata, kedatangan pemimpin-pemimpin besar daripada kedua-dua parti mampu memberikan kelebihan kepada PKR dan BN.



“Saya lihat pilihan raya kecil kali ini ibarat pilihan raya umum. BN dan PKR bekerja keras untuk menang di Hulu Selangor. BN menurunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai ‘giant killer’ kepada PKR.



“Namun PKR juga tidak mudah melatah dengan hampir setiap malam Anwar, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turun berkempen dan menyampaikan ceramah masing-masing,” katanya.



Jelasnya, bukan itu sahaja malah beliau difahamkan malam ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan turun berkempen sebagai peluru terakhir untuk mematahkan serangan BN dan membantu PKR mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor.



Beliau berkata, PKR menurunkan Nik Aziz sebagai senjata untuk menjawab pertuduhan dan serangan peribadi yang dilemparkan ke atas Zaid Ibrahim.



“Saya lihat Nik Aziz mampu untuk mengembalikan kenyakinan pengundi terhadap calon yang diletakkan oleh PKR.



“Beliau (Nik Aziz) punya ‘wow factor’ yang tersendiri. Namun apa pun strategi yang dipasang oleh BN mahupun PKR masing-masing perlu melihat kepada mood pengundi pada 25 April ini,” katanya.



Pilihan raya kali ini dianggap sengit kerana ia bakal menentukan survival MIC dan PKR oleh itu satu undi sekali pun dianggap amat penting.



Kedua-dua parti yang bertanding dilihat mempunyai ruang untuk menang namun kelebihan masih berpihak kepada pembangkang.



Oleh itu BN perlu bekerja lebih keras lagi dalam tempoh dua hari terakhir menjelang ini bagi memastikan mereka merampas kembali kerusi tersebut daripada PKR.



Jika calon MIC menang ia bakal memberi tamparan hebat kepada PKR kerana gagal mempertahankan kerusi Hulu Selangor. Kemenangan MIC sekaligus memberikan keyakinan bahawa tsunami politk sudah berakhir dan rakyat sudah kembali menyokong kerajaan BN.



Apa pun perkiraan yang telah dibuat oleh kedua-dua parti, seramai 64, 500 pengundi di Parlimen Hulu Selangor mempunyai hak untuk memilih siapa wakil rakyat yang paling layak untuk mewakili mereka di Parlimen dan ia bakal diterjemahkan pada lusa.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan