MASUK hari kelima berkempen, sama ada BN ataupun PKR masing-masing sibuk mempergiatkan usaha meraih undi di kalangan penduduk setempat.
Namun tidak seperti mana pilihan raya kecil sebelum ini, di Hulu Selangor sehingga kini rata-rata pengundi masih menunjukkan sikap 'berdiam diri' dan tidak memberikan gambaran yang jelas ke arah manakah sokongan mereka akan pergi.
Rata-rata pengundi lebih bersikap tunggu dan lihat kecuali di kalangan penyokong tegar bagi kedua-dua parti yang bertanding.
Justeru pada peringkat ini, boleh digambarkan kedua-dua pihak masih mempunyai peluang untuk memenangi pilihan raya kerusi Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung Ahad ini.
TSUNAMI KECIL
Cakap-cakap mengatakan BN mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali kerusi Parlimen berkenaan ekoran pelbagai isu peribadi yang sedang dihadapi oleh calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim namun ia bukan berada pada kedudukan selesa jika dibandingkan dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dahulu.
"Boleh menang...BN boleh menang kali ini. Tapi saingannya memang sengit," kata seorang pemerhati politik yang memerhati perjalanan pilihan raya kali ini sejak awal.
Menurut beliau lagi, BN berpotensi untuk menang namun momentum kempen mereka perlu ditingkat lebih beberapa kali ganda untuk benar-benar meyakinkan rakyat.
Jelasnya, kumpulan pengundi yang berstatus 'atas pagar' perlu diberi tumpuan yang lebih selain tidak mengabaikan golongan penyokong setia mereka yang memberi undi protes pada pilihan raya umum yang lalu.
Bagaimanapun perkembangan mutakhir ini yang menyaksikan berlakunya 'tsunami kecil' dalam PKR iaitu satu demi satu pemimpin dan ahli parti itu meninggalkan mereka dilihat sebagai bonus kepada BN.
Sekurang-kurangnya ia boleh membuka laluan pemikiran ataupun memberi gambaran mengenai kedudukan sebenar PKR pada ketika ini berbanding sebelum pilihan raya umum 2008.
PENGUNDI CINA
Bagi BN, mungkin tiada masalah untuk meraih undi daripada masyarakat Melayu ataupun India serta sebilangan kecil penduduk orang asli yang menjadi pengundi di Hulu Selangor.
Namun nyata sekali bukan mudah untuk meyakinkan pengundi di kalangan 26.3 peratus masyarakat Cina di sini.
Kawasan Parlimen itu mempunyai 64,500 pengundi termasuk 799 pengundi pos.
Daripada jumlah itu 34,020 pengundi atau 52.7 peratus adalah pengundi Melayu, 16,964 pengundi atau 26.3 peratus adalah pengundi Cina dan 12,453 pengundi atau 19.3 peratus adalah pengundi India selain terdapat 1,000 pengundi Orang Asli.
Para pemerhati politik yang berkampung di Hulu Selangor masih mengandaikan setakat ini, 70 peratus daripada kaum Cina masih lagi menunjukkan kecenderungan untuk memihak kepada pembangkang.
"Isu peribadi Zaid yang digembar-gemburkan sekarang tidak ada isu moral bagi mereka," ujar seorang pemerhati.
"Memang sukar untuk dapat sokongan seratus peratus, tapi BN sememangnya perlu yakinkan kaum Cina kepada mereka perlu terus menyokong Kerajaan BN. Dan peranan ini perlu dimainkan oleh MCA dan Gerakan," kata sumber itu lagi.
Bukan itu sahaja, perkara yang sama juga turut diberi perhatian oleh pakatan pembangkang bagi memastikan mereka memperolehi undi total daripada kaum itu.
Seharusnya tumpuan bagi meraih sokongan kaum Cina terutamanya di 13 kampung baru Cina perlu menjadi tumpuan jentera pilihan raya BN.
Apakah ini semua akan berubah apabila Najib yang juga atas kapasitinya sebagai Pengerusi BN Selangor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor melawat kampung baru Cina itu di Kuala Kubu Bharu, Rasa, Batang Kali, Ulu Yam, Kalumpang dan Kerling malam ini?
FAKTOR CALON
Ini juga adalah satu faktor yang tidak boleh dinafikan menjadi perhatian penting pengundi di sini.
Saban hari gelagat, bahasa badan, riak wajah, serta senyuman calon yang bertanding sama ada P. Kamalanathan (BN) ataupun Datuk Zaid Ibrahim menjadi perhatian dan buah mulut pengundi.
Pengundi yang bertindak sebagai pengadil dan penilai kepada kedua-dua calon ini sentiasa memerhatikan kriteria yang mungkin dianggap remeh ini berbanding manifesto dan janji-janji yang dilaungkan mereka.
Menurut salah seorang penduduk tempatan, beliau mengakui agak mudah menerima kehadiran Kamalanathan berbanding Zaid yang disifatkan begitu 'berimej Datuk' ketika turun padang menemui pengundi.
"Kamalanathan ni nampak macam orang biasa saja, senang nak cakap. Bila dia salam, mata dia tengok ke arah kita dan sempat lagi tanya khabar dan berbual walaupun ringkas.
"Saya fahamlah kerana dia pun nak kejar masa, tapi sekurang-kurangnya nampak keikhlasan dia. Tetapi Datuk Zaid, dia ni bawa imej Datuk-Datuk jumpa rakyat, bila salam hanya senyum sikit dan terus pergi," kata seorang pengundi ketika ditemui hari ini.
jan halap kami cina mau sukung lu bn umno....seumul ilup...
BalasPadam