Pengikut

Selasa, 27 April 2010

DEWAN NEGARA PERLUKAN PERUBAHAN






Kami, semua Senator dari PAKATAN RAKYAT ingin melihat dan akan mengambil langkah-langkah yang sesuai serta perlu agar Senat menjadi sebuah institusi yang berkesan dalam amalan demokrasi di Negara Malaysia dan tidak akan dianggap sebagai "rubber stamp" atau "tong sampah".


Pertama, kami akan mengambil bahagian dalam semua debat, sama ada mengenai dasar atau undang-undang baru, dengan aktif dan rasional. Untuk tujuan ini kami telah membahagi-bahagikan tugas supaya tiap-tiap Senator PAKATAN bertanggungjawab ke atas dasar-dasar dan kementerian tertentu.


Kedua, kami ingin mengembalikan peranan Senat kepada yang asalnya, iaitu bagi wakil-wakil Negeri mengutarakan kepentingan Negerinya dan mengimbangi Pusat. Pada asalnya, bilangan wakil yang dipilih dari Negeri lebih ramai dari yang dilantik oleh Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, iaitu dengan kadar 22:16. Akan tetapi sekarang ini, setelah beberapa pindaan, kadarnya ialah 26:44. Sehubungan ini sebagai permulaan, sesuai dengan kehendak Fasal 45(4a) Perlembagaan Malaysia, kami akan mengusulkan kelak supaya wakil dari tiap-tiap Negeri ditambah dari dua menjadi tiga, menjadikan jumlahanya 39.





Ketiga, kami akan mengambil langkah-langkah yang sesuai dan perlu agar akhirnya majoriti ahli-ahli Senat hendaklah dipilih oleh pengundi-pengundi dalam pilihanraya, dan bukan dipilih oleh Dewan Undangan atau dilantik oleh Agong, selaras dengan kuasa yang diberi oleh Fasal (4b) dalam Perlembagaan Malaysia. Sebagai permulaan, kami mendesak supaya seorang yang ditambah dari tiap-tiap Negeri nanti hendaklah dipilih melalui satu pemilihan umum di Negeri masing-masing.



Akhir sekali, sesuai dengan Fasal 45(2) Perlembagaan Malaysia, ahli-ahli Senat yang dilantik oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri hendaklah benar-benar merupakan mereka yang "telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam pelbagai bidang... atau yang mewakili ras minoriti atau yang berkebolehan mewakili kepentingan orang asli". Pada peringkat akhirnya, kami juga berharap supaya mereka ini dipilih oleh dan dari kalangan golongan yang berkenaan.




*Kenyataan media oleh Syed Husin Ali, selaku Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Senator.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan