Pengikut

Selasa, 6 April 2010

RUMAH DIN BERAMBOI DIPECAH MASUK






“Sampai hati mereka meragut kenangan yang ditinggalkan arwah kepada anak-anak. Pasti Allah akan membalas perbuatan dilakukan mereka,” kata balu Allahyarham Din Beramboi, Suhaini Che Man, 42, berhubung tindakan sekumpulan pencuri memecah masuk rumahnya, malam kelmarin.

Kejadian itu dianggap malang berganda bagi keluarga Allahyarham Din Beramboi atau nama sebenarnya Meor Ahmad Fuad Meor Badri, 43, apabila tidak hanya kehilangan insan tersayang, malah rumah turut dipecah masuk ketika ketiadaan balu dan tiga anaknya.

Suhaini yang dihubungi Harian Metro semalam berkata, tindakan penjenayah terbabit tidak ubah seperti binatang kerana mengambil kesempatan daripada musibah menimpa keluarganya.



“Perbuatan mereka tidak berperikemanusiaan langsung, apatah lagi dalam keadaan saya sekeluarga masih bersedih dengan pemergian arwah suami.

“Walaupun bersedih, sokongan ahli keluarga sedikit sebanyak memberi semangat kepada saya dan anak-anak meneruskan hidup selepas ini,” katanya sebak.

Dalam kejadian antara jam 10.30 malam kelmarin hingga awal pagi semalam, penjenayah memecah pintu belakang rumah teres keluarga mangsa di Sungai Buaya, Rawang, sebelum melarikan pelbagai barangan berharga bernilai lebih RM20,000.

Difahamkan, penjenayah mengambil kesempatan selepas menyedari isteri dan anak-anak pelawak terbabit yang meninggal dunia lima hari lalu tiada di rumah berikutan menginap sementara di rumah keluarga terdekatnya di Kepong.

Adik Suhaini, Sarifuddin, 37, berkata kejadian hanya disedari jiran yang ingin memberi makan kepada beberapa ekor kucing peliharaan keluarga Allahyarham, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Menurutnya, jirannya berasa sesuatu tidak kena selepas mendapati pintu jeriji besi dapur rumah mangsa terbuka dan ada kesan umpilan.

“Dia juga mendapati pintu kayu pada dapur rumah mangsa dipecahkan penjenayah yang dipercayai menceroboh melalui bahagian belakang rumah,” katanya.

Menurutnya, isteri dan anak Din Beramboi, Nil Aina Adibah,18, Nil Ain Syuhada, 6, dan Mior Shafiq, 12, yang dimaklumkan kejadian itu terkejut apabila mendapati rumah mereka digeledah penjenayah dan beberapa barang berharga dilarikan.

“Antara barangan berharga dilarikan penjenayah tiga komputer riba dan lima jam berjenama milik Allahyarham.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan